Cari @ Amanz

Tesla Model 3 telah dikemaskini hari ini dengan beberapa perubahan rekaan pada bahagian luaran dan dalaman. Ia juga akhirnya ditawarkan secara rasmi menerusi laman Tesla Malaysia pada harga bermula RM189,000 untuk model panduan roda belakang dan meningkat ke RM268,500 untuk model dwi-motor dan FSD terpasang.

Perubahan yang dilakukan hanyalah kosmetik di bahagian luaran. Perkara paling ketara dilakukan ialah pada rim tayar 19″ yang kelihatan lebih agresif serta lampu depan serta belakang yang juga diberikan rekaan baharu. Tesla Model 3 mempunyai jerak pemanduan sehingga 629km (WLTP), kelajuan maksimum 201 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat.

Sekiranya tempahan dilakukan sekarang, Tesla Model 3 akan diterima oleh pelanggan di Malaysia pada lewat tahun ini. Sebelum ini hanya Tesla Model Y sahaja ditawarkan di Malaysia apabila ia memasuki pasaran tempatan pada bulan Julai pada harga bermula RM199,000 sebuah. Sungguhpun Model Y memasuki pasaran Malaysia lebih awal, kenderaan hanya akan diterima pembeli bermula awal 2024.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd