Cari @ Amanz

Jabra telah hadir dengan dua fon telinga nirwayar baharu menerusi pengenalan Elite 8 Active dan Elite 10. Kedua-duanya dilengkapi rekaan hampir serupa yang serba kompak, namun fokus pengguna sudah semestinya berbeza. Di mana Elite 8 Active sesuai digunakan untuk aktiviti lasak, sementara itu kualiti panggilan dan audio yang dipertingkatkan pula menjadi fokus utama untuk Elite 10.

Secara khususnya Elite 8 Active dilengkapi set pemandu audio sebesar 6mm yang juga menyokong enam mikrofon dan sistem pembatalan hingar aktif adaptif terbina. Tambatan pantas boleh dilakukan menerusi bluetooth 5.3 bagi sambungan peranti dengan codec AAC/SBC.

Dalam pada itu ia turut melepasi pelindungan kalis air IP68 untuk fon telinga dan IP54 pula untuk pod pengecas. Di samping turut mempunyai kemampuan tahan lasak MIL-STD 810H. Bateri disertakan mampu bertahan 8 jam penggunaan, dan meningkat kepada 32 jam dengan bantuan pod pengecas yang juga menyokong pengecasan secara nirwayar.

Bercakap mengenai Elite 10 pula, sepasang pemandu audio 10mm digunakan yang juga menyokong enam mikrofon dan sistem pembatalan hingar aktif adaptif terbina. Tambatan pantas turut boleh dilakukan menerusi Bluetooth 5.3 untuk sambungan pada peranti dengan sokongan codec AAC/SBC.

Turut melengkapinya juga adalah penarafan kalis air dan bateri yang boleh bertahan sehingga enam jam penggunaan. Ia bagaimanapun boleh meningkat kepada 27 jam lamanya dengan bantuan pod pengecas dan turut menyokong pengecasan secara nirwayar.

Jabra Elite 8 Active dijual dengan harga $199 (~RM922), sementara itu Jabra Elite 10 pula berharga $249 (~RM1,154) untuk seunit. Setakat yang diketahui Jabratelah mengesahkan mengenai ketersediaan Elite 8 Active untuk pasaran Malaysia namun butiran mengenai harga masih menjadi misteri.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd