Garmin hadir dengan dua kemaskini baharu untuk peranti boleh pakai di bawah siri Venu. Dikenali sebagai Garmin Venu 3 dan Venu 3S, kedua-duanya dilihat berpotensi meneruskan kemampuan siri berkenaan dengan peningkatan yang menarik.


Garmin Venu 3 dilengkapi dengan skrin 1.4-inci dengan resolusi 454 x 454 pixels, sementara itu skrin Garmin Venu 3S pula sebesar 1.2-inci beresolusi 390 x 390 pixels. Kedua-duanya menawarkan dua saiz kerangka iaitu 41mm dan 45mm yang menggunakan skrin AMOLED bewarna sesentuh dan tali silikon pelbagai warna.
Kedua-duanya juga mempunyai pelbagai ciri kesihatan serta kecergasan standard yang merangkumi pemantauan kadar jantung, pola tidur, SpO2, tekanan harian dan lebih 30 mod sukan terbina. Namun antara yang paling menyerlah adalah jurulatih tidur serba baharu dan pengesanan masa tidur automatik. Selain itu terdapat juga mod kerusi roda terbina yang boleh menjejak jumlah kerusi ditolak seharian, di samping turut menyediakan pengesanan khusus untuk kerusi roda.

Bateri yang disertakan boleh bertahan sehingga 14 hari penggunaan untuk Venu 3, sementara itu Venu 3S pula boleh digunakan sehingga 10 hari dalam mod jam tangan pintar.
Turut melengkapi lagi jam tangan ini, pembesar suara dan mikrofon terbina yang bermakna panggilan telefon boleh dijawab dan mesej juga boleh dibalas terus daripada jam tangan.
Garmin Venu 3 dan Venu 3S masing-masing dijual pada harga $ 449.99 (~RM2,088) namun tiada butiran mengenai ketersediaan di Malaysia yang diketahui buat masa ini.