Setiap kali ada pelancaran produk di atas talian, saya perlu menggunakan ciri tangkapan layar Windows untuk mengambil gambar-gambar produk, eksekutif yang menjadi hos atau butiran spesifikasi. Kadangkala hasilnya kabur kerana kualiti juga bergantung kepada resolusi skrin monitor komputer yang digunakan.
Terbaru, Google Chrome dan pelayar web lain yang dibina berasaskan Chromium telah memperkenalkan ciri Copy Video Frame. Ia adalah ciri menyalin satu bingkai video YouTube berdasarkan tetapan resolusi yang dimainkan. Hasil imej ini adalah lebih terang dan saiz fail yang lebih besar berbanding tangkapan layar biasa.
Dalam percubaan saya pada Microsoft Edge ciri ini berfungsi dengan baik. Tangkapan layar Windows dengan menekan butang Ctrl + Prtscrn ia hanya menyimpan resolusi 1080p pada saiz sekitar 2MB dengan palang hitam di atas dan bawah. Sementara ciri Copy Video Frame menyimpan pada resolusi 4K dan saiz hampir 8MB tanpa sebarang palang hitam.
Ciri ini walau bagaimanapun adalah menyalin gambar sahaja untuk ditampal terus pada dokumen, nota, slaid atau lain-lain. Untuk menyimpan sebagai gambar anda memerlukan aplikasi Paint, Photoshop atau mana-mana yang lain yang menyokong ciri menampal dan menyimpan.