Infinix hari ini telah melancarkan telefon pintar kelas pertengahan premium baharu, Infinix Zero 30 5G. Peranti ini memfokuskan kepada videografi swafoto untuk para pencipta kandungan TikTok melalui kamera hadapan yang berkualiti tinggi bersama dengannya. Infinix juga menyatakan Zero 30 lebih menyasarkan kepada pengguna belia.
Infinix Zero 30 hadir dengan skrin melengkung 6.78″ AMOLED FHD+, menyokong kadar segar semula 144Hz, bersama paparan HDR10+. Peranti ini dijana dengan cip Dimensity 8020, dipadankan dengan memori 12GB RAM serta 9GB RAM maya, dan dilengkapkan dengan storan dalaman 256GB.
Untuk kamera, Infinix Zero 30 menggunakan sistem tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 108MP OIS + sensor 13MP sudut ultra-lebar 120 darjah + 2MP makro dan kamera swafoto 50MP yang menyokong rakaman video 4K 60fps.
Infinix Zero 30 menjalankan XOS 13 berasaskan Android 13 mirip pada Infinix GT 10 Pro sebelum ini. Ia turut menyokong perlindungan kalis air dan debu IP53 serta pengimbas cap jari bawah skrin. Melengkapkan telefon ini adalah bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 68W.
Ciri unik lain pada Infinix Zero 30 adalah XOS 13 menyertakan pembantu maya Folax yang dikuasakan oleh ChatGPT. Selain turut menawarkan ciri menjana gambar latar dengan menggunakan kecerdasan buatan. Infinix turut menawarkan tiga pilihan warna iaitu Golden Hour, Rome Green dan Fantasy Purple.
Harga jualan tempatan masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Sama-sama kita nantikan lanjut berkenaan perkongsian Infinix Malaysia tidak lama lagi.