Bertempat di Berlin, Honor mengambil pentas utama IFA 2023 dengan memperlihatkan peranti skrin boleh-lipat baharunya. Dikenali sebagai Honor Magic V2, ia hadir dengan rekaan seumpama buku dengan skrin yang dilipat ke dalam di samping turut menyokong stilus pada kedua-dua skrin. Tetapi kami di Amanz juga telah diberi peluang melihat penawarannya dengan lebih dekat meskipun tidak perlu diterbangkan ke Berlin secara langsung. Teruskan membaca artikel pandang pertama ini bagi melihat serba sedikit penawaran dan pengalaman ringkas kami mengenainya.
Spesifikasi Peranti
Honor Magic Vs | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.43″ OLED, 120Hz Dalam – 7.92″ OLED 120Hz |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) |
Cip | 1 x 3.36 GHz Cortex-X3 2 x 2.8 GHz Cortex-A715 2 x 2.8 GHz Cortex-A710 3 x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 16GB RAM |
Muatan Dalaman | 256/512GB/1TB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar) 20 MP, f/2.4, OIS (Telefoto), 40X digital zum 4K 60p |
Kamera Depan | 16 Megapixel f/2.45 (Depan) 16 Megapixel f/2.45 (Dalam) 4K 60p |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 66W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari terbina sisi |
Harga Jualan | RM4798* (8/256 GB) RM5118* (12/256 GB) RM5758* (12/512 GB) |
Rekaan Peranti
Cukup nipis dan selesa untuk dipegang, inilah getusan hati saya sewaktu awal memegang peranti skrin boleh lipat baharu Honor Magic V2 ini. Perasaan ini juga yang menjelaskan pengalaman sewaktu memegang Huawei Mate X3 sebelum ini, tetapi terasa lebih nipis.
Menurut Honor peranti ini mempunyai tubuh senipis 9.9mm apabila dilipat dan 4.7mm pula sewaktu dibuka. Namun meningkat sedikit kepada 10.1mm dan 4.8mm untuk variasi kaca memandangkan peranti mempunyai dua variasi yang ditawarkan.

Ia juga ringan dengan berat hanya 231g (PU)/237g (kaca) termasuklah bateri yang bukan sahaja membuatkannya selesa dipegang, malahan tubuh yang tegap menjadikan proses mengendali peranti dalam kebanyakan keadaan juga adalah lebih mudah. Ini termasuklah apabila peranti dimasukkan ke dalam poket langsung tidak menimbulkan rasa yang kurang selesa.

Seterusnya dalam dilihat bahawa elemen yang digunakan keseluruhannya menyerupai beberapa generasi peranti boleh lipat Honor sebelum ini dengan skrin lipat pada bahagian dalam bersama sebuah skrin sekunder di luar. Ini dipadankan juga dengan engsel sisi yang nipis tanpa ruang kosong ketara meskipun sewaktu peranti dalam mod skrin dilipat.

Ia dibina semula sepenuhnya menggunakan bahan titanium yang dikatakan boleh berfungsi dengan baik sehingga 400,000 kali lipatan. Pengalaman membuka dan menutup peranti juga terasa baik tanpa bunyi aneh walaupun menimbulkan persoalan mengenai ketahanannya dari masa ke semasa.

Kemudian panel belakangnya juga nampak hebat dengan beberapa pilihan jenis kemasan termasuklah kaca seperti unit yang dipegang dalam artikel ini. Panel ini dilengkapi dengan kemasan serba baharu dinamakan Silk Purple yang bukan sahaja bagus dalam mengurangkan kesan cap jari, malahan nampak lebih premium dengan tubuh yang serba berkilat. Ia bagaimanapun sebenarnya agak licin sewaktu dipegang justeru kerangka khusus amat diperlukan untuk pelindungan lebih baik.

Sisi kanan terdapatnya butang kuasa yang mana dipercayai menggunakan bahan berasas logam yang kukuh. Dalam masa sama peranti juga mempunyai pengimbas cap jari fizikal terbina pada butang kuasa dengan kedudukan yang amat mudah diakses oleh jari bagi tujuan imbasan. Disebabkan penggunaan yang singkat, saya tidak pula sempat menguji prestasi. Tetapi ia lebih memudahkan pengguna, dalam masa sama dijangka lebih pantas berbanding pengimbas cap jari pada skrin.

Selanjutnya butang laras audio pula diletakkan pada sisi bertentangan. Kemudian slot kad SIM pula diletakkan pada sisi bawah dan diletakkan bersama-sama dengan port USB-C yang boleh digunakan untuk tujuan pengecasan atau pemindahan data. Peranti juga memuatkan dua kekisi audio stereo pada bahagian atas dan bawah. Ianya cukup besar dengan sokongan audio IMAX dan DTS:X Ulra untuk pengalaman audio imersif.

Kelemahan mula kelihatan apabila peranti langsung tidak melepasi penarafan kalis air secara rasmi. Ia agak mengecewakan kerana ciri berkenaan mula menjadi tumpuan beberapa pesaing setara seperti Samsung dan Huawei pada peranti skrin boleh lipat terkini mereka. Dalam masa sama ciri kalis air juga dianggap penting pada sesebuah peranti untuk penggunaan jangka masa panjang.
Skrin Peranti
Pada kedudukan terbuka skrin 7.92-inci yang digunakan pada peranti lebih besar berbanding pendahulunya Honor Magic V, namun perbezaan itu tidak begitu ketara. Namun berbeza pula dengan skrin sekunder 6.43-inci lebih kecil yang digunakan tetapi masih banyak kegunaan boleh sahaja dimanfaatkan tanpa isu.

Skrin sepenuhnya daripada LTPO OLED yang juga menyokong 2156 x 2344 pixels untuk skrin luar dan 1060 x 2376 pixels pula pada skrin dalamnya. Kedua-dua belah skrin juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan turut menampilkan 3,840Hz PWM dimming.

Pengalaman penggunaan masa singkat mendapati paparan skrin kelihatan terang dan tajam untuk kedua-dua bahagian luar dan dalam. Di atas kertas peranti juga dikatakan melepasi HDR10+ dan mampu memaparkan paparan sehingga 1.07 billion yang sepatutnya menawarkan pengalaman menonton video lebih hebat dengan skrin sentiasa jelas. Kesan lipatan juga tidak jelas kelihatan untuk penggunaan awal ini melainkan dilihat dengan teliti daripada sebelah sisi.
Perkakasan Dan Perisian
Honor magic V2 dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan GPU Adreno 740, memori 16GB RAM dan storan sehingga 512GB. Ini merupakan cip pemprosesan paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini, yang dalam masa sama turut menawarkan sokongan 5G secara terbina. Ia juga merupakan cip yang sama digunakan pada Galaxy Z Fold5 dan Vivo X Fold 2. Dalam masa sama kapasiti memori dan storan maksimum 16GB/1TB juga dilihat lebih baik berbanding penawaran pada Magic V sebelum ini.

Peranti ini menggunakan MagicOS 7.2 berasaskan Android 13 tanpa butiran lanjut mengenai tempoh masa kemas kini yang akan disokong. Sebagai rekod Honor telah memberikan kemas kini sehingga tiga tahun untuk sistem dan lima tahun untuk sekuriti pada Honor Magic Vs. Antaramuka tidak menunjukkan perubahan yang mendadak, sebaliknya mudah sahaja dikendali kerana masih mirip EMUI pada peranti Huawei.

Honor dilihat turut memberi tumpuan pada perisian dengan menawarkan ciri melancarkan sehingga empat aplikasi secara terapung di skrin dan dua aplikasi serentak dengan dua aplikasi dalam tingkap besar. Pengguna turut diberi pilihan sama ada mahu memaparkan kedua-duanya secara atas/bawah atau bersebelahan dengan mudah. Ia juga menyokong kebolehan Flexible Windows dan Smart sidebar bertujuan memudahkan proses multi-tugas.
Sistem Kamera

Honor Magic V2 dilengkapi tiga kamera utama dengan tetapan 50MP lebar (f/1.9), 50MP lensa ultra-lebar (f/2.0) dan 20MP lensa telefoto (f/2.4) dengan sokongan OIS terbina. Sementara itu diikuti pula dengan kamera swafoto sebesar 16MP (lebar) dengan bukaan apertur f/2.2) juga digunakan pada kedua-dua belah skrin luar dan dalam. Peranti juga membenarkan rakaman video maksimum 4K (3840×2160 pixels) dibuat pada kedua-dua belah kamera. Kebolehan zum pula boleh meningkat kepada 40X zum digital.

Terdapat juga beberapa fungsi terbina di dalam aplikasi kamera seperti Night, Portrait, Photo, Video, Movie dan sebagainya. Dalam masa sama peranti juga menyokong AI dan HDR terbina bagi membolehkan gambar diambil dengan imbangan cahaya baik. Seperti biasa pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3 dan penuh.
Kapasiti Bateri
Bateri 5,000 mAh adalah sama dengan Magic Vs, namun lebih besar berbanding 4,700mAh yang digunakan pada Honor Magic V. Ia menarik dan boleh dipuji kerana Honor mampu menawarkan bateri cukup besar dalam sebuah tubuh peranti yang amat nipis setakat ini. Bagaimanapun sistem pengecasan disediakan masih sama 66W yang juga menyokong pengecasan nirwayar 55W. Namun lebih baik berbanding Magic Vs yang hanya menyokong pengecasan nirwayar 5W.
Apa Dalam Kotak
- 1 X Honor Magic V2.
- 1 X Kepala pengecas Honor SuperCharge.
- 1 X Kabel USB-C.
- 1 X Manual pengguna.
- 1 X Kad jaminan.
- 1 X Kerangka pelindung.
Kesimpulan
Masih terlalu awal untuk menentukan kebolehan dan prestasi secara khususnya dalam penggunaan yang amat singkat ini. Namun saya boleh simpulkan ia boleh menjadi peranti yang mampu mencipta kelainan khususnya bagi pengalaman penggunaan yang mengagumkan. Ia sebetulnya lebih ringan dan nipis setakat ini berbanding pesaing setara.

Ini jelas menunjukkan Honor benar-benar komited dalam usaha menyediakan sesuatu yang boleh dijadikan alternatif menarik oleh para pengguna hari ini. Tapi sayangnya masih tiada kata putus yang diberikan oleh Honor mengenai ketersediaannya di pasaran Global, yang mana pada pengamatan saya sebenarnya ia boleh menjadi antara peranti cukup menarik sekiranya Honor boleh membawanya ke pasaran lain termasuklah Malaysia sendiri.
Pro
- Skrin 120Hz di luar dan dalam yang selesa digunakan.
- Cip Snapdragon 8 Gen 2 dengan memori sehingga 16GB RAM.
- Rekaan lebih nipis berbanding peranti pesaing.
- Bateri besar 5,000 mAh dengan pengecasan 66W.
Kontra
- Masih tiada piawaian kalis air.
- Masih terdapat kesan lipatan pada skrin.