X atau dahulunya dikenali sebagai Twitter kini telah melakukan kemaskini polisi perkhidmatan, sekaligus menambah beberapa perkara. Selain menyatakan akan mengumpul data biometrik, kini X turut menyatakan akan mengumpulkan pelbagai informasi yang terdapat secara terbuka pada platform berkenaan dalam melakukan pembelajaran mesin, serta melatih model kecerdasan buatan.
Seperti ramai sedia maklum, X sedia digunakan ramai dalam berkongsi sejumlah perkara – termasuk berita terkini, info semasa, serta pelbagai pendapat peribadi. Data-data berkenaan sangat bernilai, dan boleh digunakan dalam melatih model AI yang berkuasa.
Elon Musk sedia mengumumkan pembentukkan syarikat memfokuskan kecerdasan buatan, dinamakan xAI. Dengan langkah ini, ia akan memudahkan X dalam terus melatih model mereka dan menerajui arena berkenaan.
Elon Musk menyatakan X akan menggunakan data-data terbuka sahaja, dan tidak akan menggunakan sebarang DM dalam melatih model AI mereka tersebut.