Cari @ Amanz

Cerita-cerita mengenai penyeludupan komponen komputer kedalam pasaran China adalah sesuatu yang bagi kami cukup menarik sekali. Teknik-teknik yang digunakan untuk mencuba menyeludup adalah unik, tetapi seringkali ditangkap oleh pihak kastam kerajaan China.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa terdapat percubaan untuk menyeludup komponen komputer dari Macau ke China sewaktu Taufan Saola berlaku di rantau tersebut baru-baru ini. Insiden ini berlaku pada 1 September, apabila sebuah kenderaan SUV Audi telah ditarik ketepi di sempadan Zhuhai–Macau kerana disyaki menyeludup barangan.

Pihak imigresen telah menemui sejumlah besar komponen didalam beberapa ruang rahsia di bahagian enjin dan juga bawah kenderaan. Komponen-komponen yang dirampas termasuklah 1500 keping CPU, 1470 keping memori RAM, 30 buah kad grafik dan 40 ribu cip memori/storan NAND.

Beberapa laporan juga mengatakan bahawa percubaan penyeludupan ini adalah diantara yang terbesar kebelakangan ini, dan walaupun pihak kastam China tidak mengesahkan jumlah nilai komponen-komponen ini, ia dianggarkan bernilai sekitar $1 juta (~RM3.5 juta).

Ia juga dilaporkan bahawa komponen-komponen ini akan dilelong secara terbuka tidak lama lagi untuk sesiapa yang berminat untuk memilikinya.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd