Kerajaan Australia dan Kanada telah memperkenalkan rang undang-undang News Media Bargaining Code (NMBC) dan Online News Act (C-18) untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat pengamal media di negara tersebut diberikan pampasan sepatutnya untuk berita yang dibawakan oleh mereka, dan digunakan oleh platform-platform pencarian maklumat seperti Google dan Facebook.
Dalam sebuah perbincangan yang diadakan semalam oleh pihak kementerian Komunikasi dan Digital dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mereka mengumumkan pertimbangan mengguna pakai rangka kerja kawal selia yang serupa sebagaimana yang dilaksanakan di Australia.

Dalam pengumuman tersebut, pihak KKD dan MCMC juga sedang berbincang dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi berkenaan pembangunan rangka kerja pelesenan dan kawal selia ini.
Langkah ini dilihat menarik, kerana walaupun undang-undang NMBC kini diguna-pakai di Australia dengan pihak Google dan Facebook bersetuju untuk membayar platform-platform media untuk perkongsian kandungan mereka, pihak pengamal media di Kanada nampaknya sedang berhadapan dengan krisis pengurangan pembaca akibat rang undang-undang ini.
Google telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa rang undang-undang C-18 terlalu ketat dan perlu difikirkan semula di meja rundingan, manakala Facebook mengatakan bahawa halangan perkongsian pautan berita di Kanada tidak memberikan kesan yang tinggi terhadap trafik di laman web mereka.
Buat masa ini, pengenalan rang undang-undang pengamal digital media ini masih lagi berada pada tahap perbincangan, dan butiran lanjut mengenainya mungkin akan diumumkan di masa depan.