Apa yang kami sedari di kalangan pelatih industri di Amanz ialah mereka gemar menggunakan Canva untuk menghasilkan slaid dan grafik. Berbeza sekali dengan generasi X dan Millennial yang lebih selesa menggunakan Words dan Photoshop. Ini mungkin kerana Canva menawarkan ribuan templat yang bukan sahaja cantik tetapi mudah digunakan.
Tetapi ini juga menimbulkan masalah untuk menggunakan templat apabila terdapat banyak sangat pilihan. Untuk memudahkan proses ini Canva kini menyokong pemalam baharu ChatGPT. Menerusi pemalam ini pengguna boleh menyuruh ChatGPT mencari templat yang paling sesuai dengan kandungan yang ingin dihasilkan. Berdasarkan prom, ChatGPT akan memberikan sarana templat yang paling sesuai yang kemudiannya boleh dibuka terus dalam Canva menerusi pautan yang diberikan.
Pemalam ini hanya boleh digunakan oleh pelanggan ChatGPT Plus sahaja pada waktu ini dengan mengaktifkannya dalam bahagian pilihan pemalam dalam ChatGPT.