Pasaran permainan mudah alih (permua) kini lebih besar berbanding PC dan konsol. Akses kepada permua adalah lebih mudah serta permainan boleh dimuat turun secara percuma. Coda hari ini menerbitkan laporan mengenai permua paling popular di Barat dan Timur. Laporan yang lebih menarik ialah melihat permua mana paling menarik minat pengguna di Malaysia.
Menurut pungutan suara melibatkan 3600 responden di sembilan pasaran, di Malaysia permua paling popular ialah Mobile Legends: Bang Bang (11.7%) diikuti oleh PUBG Mobile (10.9.%) dan Call of Duty: Mobile (7.2%). Turut didedahkan ialah peminat permua di Malaysia membelanjakan purata RM 121 dalam tempoh tiga bulan dalam permainan yang diminati. Ini meletakkan Malaysia di hadapan Indonesia (RM114) dan Filipina (RM65) tetapi di belakang Thailand (RM270).
Pembelian dalam aplikasi adalah lebih tinggi di kalangan gamer wanita Malaysia yang membelanjakan RM127 berbanding lelaki yang membelanjakan RM54 dalam tempoh tiga bulan. Hanya 38% peminat permua di Malaysia mengaku menghabiskan lebih 16 jam seminggu dalam permainan kegemaran. Ini adalah lebih rendah berbanding 40% di negara Barat, Thailand (45%), Indonesia (43%) dan Filipina (40%).
Sebagai perbandingan permua paling popular di negara Timur ialah Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile dan Free Fire. Sementara itu di negara Barat pula permua paling popular ialah Call of Duty : Mobile, Free Fire dan FIFA. Seperkara lagi yang menarik ialah pemain di negara Timur membeli barangan kosmetik untuk watak yang dimainkan tetapi di Barat pemain lebih gemar membeli penaiktarafan tahap watak.