Sony kini hadir dengan penawaran kamera bingkai penuh baharu menerusi ILX-LR1 yang dikhususkan untuk sektor perindustrian dan profesional termasuklah dron. Kamera ini dilengkapi sensor 61-MP 35mm Exmor R CMOS dan cip pemproses Bionz XR tanpa penstabilan imej terbina, yang juga menyokong pelbagai lensa E-Mount Sony boleh ditukar ganti.
Menerusi sensor ini kamera turut boleh merakam video sehingga 4K/60FPS serta mod S-Log3. Dalam masa sama turut dikatakan sesuai dijadikan pilihan ideal untuk kegunaan penstriman langsung yang dirakam secara jarak jauh dalam masa nyata. Julat ISO pula adalah antara 100 – 32,000, seterusnya kamera juga tidak mempunyai penstabilan imej terbina dalam tubuh dan kemampuan merakam berterusan pula terhad sehingga 3FPS.
Kemudian tiada sebarang skrin mahupun EVF disertakan, sebaliknya kawalan pada kamera sepenuhnya melalui Sony Camera Remote SDK. Dengan mengintegrasikan API ke dalam sistem, ia membolehkan pelbagai menu dan fungsi pada kamera ini dikawal secara langsung dari jauh. Termasuklah untuk perubahan tetapan kamera, pengatup, pemantauan paparan langsung dan banyak lagi.
Di samping itu, kamera juga mempunyai skru pemasangan (1/4-20 UNC) di bahagian bawah, beserta port USB Type-C dan HDMI Micro (Jenis D) di bahagian belakang untuk pemasangan mudah. ILX-LR1 turut menyokong sambungan kuasa DC 10-18V dan boleh dikuasakan dari bateri dron untuk masa operasi yang panjang tanpa perlu bateri.
ILX-LR1 akan tersedia pada Disember 2023 dengan harga jualan $2,950 USD (~RM13,776) untuk kamera sahaja.