Carian
Siri Xiaomi TV A Dilancarkan – Google TV, Dolby Vision, Harga Bermula RM1,199
September 7, 2023 Fahim Zahar

Hari ini Xiaomi mengadakan acara Xiaomi’s Smart Living Showcase untuk memperlihatkan pelbagai produk rumah pintar mereka yang sentiasa berhubung dalam ekosistem yang sama. Pada masa yang sama, mereka turut melancarkan lima televisyen pintar baharu di bawah siri Xiaomi TV A.

Xiaomi TV A Pro 43″, 55″, 65″

Terdapat tiga saiz dalam model Xiaomi TV A Pro iaitu 43-inci, 55-inci dan 65-inci. Dari segi rekaan, spesifikasi, ciri dan fungsi semuanya sama sahaja. Setiap televisyen ini menyokong paparan 4K (3840 x 2160) Dolby Vision HDR10+ 60Hz.

Untuk audio, sistem stereo 2x 12W pemacu audio digunakan yang dikuasakan oleh Dolby Audio, DTS-X, dan DTS Virtual:X. Xiaomi TV A Pro ini dijana dengan cip kuad-teras Cortex-A55 + GPU Mali G52 MP2 yang dipadankan dengan memori 2GB RAM dan storan dalaman 16GB.

TV pintar ini turut menyokong WiFi 5GHz, Bluetooth 5.0, port digital optikal, AV, 3x HDMI 2.0 (1x eARC), 2x USB-A 2.0, 1x Ethernet, 15x Slot CI dan 1x 3.5mm bicu audio.

Untuk sistem operasi Xiaomi menggunakan Google TV lengkap dengan Chromecast, Miracast, Google Assistant serta hab mengawal peranti Internet benda di rumah. Xiaomi TV A Pro ini menawarkan pengalaman menonton yang imersif dengan rekaan bezel nipis.

Xiaomi TV A 32″, 43″, 55″

Untuk Xiaomi TV A, turut terdapat tiga model tetapi kali ini adalah dengan spesifikasi pertengahan dan harga yang lebih mampu milik. Ketiga-tiga spesifikasi juga lebih kurang sama dengan beza utama hanya pada resolusi dan saiz sahaja. Ketika acara ini, Xiaomi Malaysia menyatakan model 32-inci hanya akan ditawarkan di masa akan datang dan model 43-inci serta 55-inci sahaja yang akan dijual dahulu.

Xiaomi TV A juga menjalankan Google TV, lengkap dengan Google Assistant, sokongan Chromecast, audio Dolby Audio, DTS:X dan DTS Virtual X serta hab kawalan peranti Internet benda yang sama pada model Pro.

Model 55-inci mempunyai sokongan 3x HDMI 2.0 (1x eARC) + 1x USB-A 2.0 + 1x Ethernet + 1x AV + 1x Digital optikal, sementara 43-inci hanya 2x HDMI 2.0 + 2x USB-A 2.0 dan lain-lain sama kecuali audio digantikan dengan port bicu 3.5mm.

Xiaomi TV A 55″ turut lebih berkuasa berbanding 43″. Pertama cip yang digunakan adalah kuad-teras Cortex-A55 + GPU Mali G52 MC1 yang dipadankan dengan 2GB RAM dan 8GB storan dalaman berbanding kuad-teras Cortex-A55 + GPU Mali G31 MP2 dengan 1.5GB RAM dan 8GB storan. Model ini juga tiada sokongan paparan Dolby Vision, HDR terhad pada model lebih besar sahaja.

Untuk model 32-inci nanti, resolusi skrin terhad kepada HD (720p) sahaja dan sistem audio pula hanyalah yang asas dan tiada DTS:X. Harga jualan lebih murah untuk model ini akan diumumkan kelak.

HARGA

Sempena acara Xiaomi’s Smart Living Showcase yang anda sendiri boleh kunjungi di Blue Concorse, Sunway Pyramid yang berlangsung sehingga 10 September – pelbagai diskaun dan ganjaran akan diberikan. Lebih-lebih lagi kepada 100 yang terawal yang berpeluang menyertai acara cabutan bertuah dengan hadiah bernilai RM11,997.

Untuk harga promosi ini, kesemua Xiaomi TV A Pro hanya boleh didapatkan di acara Xiaomi’s Smart Living Showcase. Untuk dua Xiaomi TV A, tawaran boleh didapatkan di kedai rasmi Lazada mereka. Model Pro dijual pada harga bermula RM1,399 dan mencapai sehingga RM2,699. Model biasa bermula hanya daripada RM1199 dan dengan diskaun bermula RM899.

Komen