Mozilla kini berkempen dan mempersoalkan Microsoft berkenaan dengan penggunaan data peribadi pengguna yang menggunakan perkhidmatan Microsoft dalam melatih kecerdasan buatan.
Mozilla mempersoalkan perkara ini, selepas melihat kepada perubahan terma perkhidmatan Microsoft yang akan berkuat-kuasa 30 September 2023 kelak. Melalui semakan pihak Mozilla bersama tiga pakar berkaitan privasi, mereka mendapati ia tidak dinyatakan dengan jelas berkenaan penggunaan data peribadi untuk melatih kecerdasan buatan.
Microsoft sedia mempunyai lebih 130 produk dibawah mereka, termasuk Microsoft Office, Skype, Teams dan Xbox – yang digunakan secara meluas oleh pengguna seluruh dunia.
Mozilla turut menyatakan sejumlah sembilan pakar privasi turut tidak memahami apakah yang akan dilakukan Microsoft terhadap data pengguna. Mozilla menekankan yang mana sekiranya pakar privasi turut tidak memahami perubahan terma perkhidmatan berkenaan – apatah lagi dengan pengguna biasa.
Buat masa ini, Microsoft tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengannya. Pada hari ini, terdapat beberapa perkhidmatan yang menggunakan data pengguna untuk tujuan latihan, termasuk baru-baru ini adalah X (atau Twitter) yang akan gunakan data pengguna dalam melatih kecerdasan buatan.