GoPro Hero 12 Black dilancarkan hari ini dengan ia memberikan peningkatan kepada tempoh rakaman yang mampu dilakukan. Dengan sekali caj, GoPro Hero 12 Black boleh melakukan rakaman video sehingga 2.5 jam pada tetapan 1080p 30 kerana penggunaan bateri baharu Enduro mereka.

Kamera aksi ini dilengkapi sensor 27MP 1/1.9″ CMOS yang membolehkan rakaman video sehingga 5.3K 60FPS dilakukan. Ciri menarik baharu yang diperkenalkan ialah kamera kini boleh merakam audio daripada AirPods atau sebarang fon telinga bluetooth di pasaran. Lensa dengan sudut pandangan 156° mempunyai lapisan hidrofobik yang memastikan tiada titisan air melekat pada lensa.

Terdapat juga aksesori lensa tambahan yang membolehkan rakaman pada sudut 177°. Kamera ini tahan lasak dan boleh dibawa menyelam sehingga kedalaman 33 kaki. Bateri Enduro baharu yang digunakan juga direka untuk beroperasi dalam keadaan sejuk yang biasanya menyebabkan bateri biasa kehabisan caj dengan lebih pantas.
GoPro Hero 12 Black dijual pada harga bermula $400 (~RM1870) untuk kamera sahaja dan meningkat ke $480 (~RM2286) dengan beberapa aksesori mod tambahan.