Cari @ Amanz

Siri CPU Intel Meteor Lake merupakan anjakan paradigma buat Intel dalam beberapa bahagian. Ia merupakan siri cip pemprosesan pertama yang akan dibangunkan menggunakan proses Intel 4 (7nm) yang terbaru, dan akan menggunakan penjenamaan Intel Core Ultra yang diperkenalkan tidak lama dahulu.

Terkini, nama model beberapa cip pemprosesan ini dan juga butiran spesifikasi untuk empat daripada cip pemprosesan Intel Meteor Lake ini sudahpun tertiris, pertama kali melalui laman web penanda-aras Geekbench, dan kemudiannya ditambahkan oleh beberapa individu yang cukup dikenali yang mempunyai maklumat dalaman tentang perkara-perkara seperti ini.

Melalui Geekbench, cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 125H diperlihatkan, yang hadir dengan 14 teras dan juga 18 bebenang kuasa. Tangkapan layar awal ini juga memperlihatkan bahawa cip pemprosesan ini akan hadir dengan empat teras prestasi (Performance) dan 10 teras kecekapan (Efficiency) dengan kelajuan asas 3.6GHz dan kelajuan maksima 4.2GHz.

Setelah butiran ini diperlihatkan, VideoCardz melaporkan bahawa butiran mengenai tiga lagi CPU Intel Meteor Lake yang diperlihatkan, termasuklah Intel Core Ultra 9 185H, Intel Core Ultra 7 165H dan Intel Core Ultra 7 155H.

Kesemua CPU Intel Core Ultra 9 dan 7 ini dikatakan akan hadir dengan 16 teras, dimana Intel Core Ultra 9 185H akan mempunyai kelajuan maksima 5.1GHz. Ia dijangka bahawa siri cip pemprosesan baru ini akan mempunyai lebih banyak model SKU yang akan diperlihatkan sewaktu acara Intel Innovation tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd