Samsung Galaxy Watch6 Diperkatakan Mempunyai Isu Tali Jam Mudah Tertanggal
Fahim Zahar
Samsung Galaxy Watch6 adalah jam tangan pintar pertama dunia dengan Wear OS 4. Bukan itu sahaja, jam ini turut dilengkapi dengan ciri memantau kecergasan dan kesihatan lebih baik, prestasi lebih pantas dan mengembalikan ciri bezel berputar.

Perubahan besar pada jam ini adalah tali jam baharu dilengkapi mekanisme pin yang memudahkan ia ditanggalkan dengan lebih mudah oleh pemilik. Tidak lagi melecehkan untuk masukkan pin dari satu bahagian ke bahagian lain.
Nampaknya rekaan mekanisme tali jam baharu ini membawakan masalah iaitu mudah tanggal. Apabila jam dipakai ketat pada tangan dan ada pergerakan yang ringan, butang itu mudah tertekan dan tali jam terus tertanggal. Ini membolehkan jam berharga lebih RM1000 ini tercicir.
Jalan penyelesaian rasmi tidak disediakan oleh Samsung. Syukur, kerana masih ada sistem mekanisme pin tali jam dari model lama atau pihak ketiga yang menggunakan sistem sama boleh digunakan pada Galaxy Watch6. Itu adalah jalan penyelesaian terbaik sekarang.
Semasa saya menggunakan jam ini, malah sehingga hari ini – isu ini tidak berlaku pada saya. Mungkin untuk sesetengah set sahaja? Anda pula bagaimana?
[sumber] Android Authority [/sumber]