Berita baik untuk semua pengguna kad debit Bank Islam hari ini kerana syarikat perbankan berteraskan islam ini bekerjasama dengan Visa Malaysia bagi melancarkan kad Debit-i Visa Be U dalam usaha memenuhi keperluan semasa pengguna dan sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi islam global.

Selain daripada membolehkan pengguna melakukan transaksi yang mudah, selamat dan pantas di lebih 100 juta lokasi pedagang Visa di seluruh dunia, aplikasi ini juga bertujuan untuk memberikan kuasa kepada pengguna dalam merancang dan mengawal sendiri urusan kewangan mereka dengan lebih bijak.
Pengguna boleh menetapkan semua tetapan perbankan tanpa perlu hadir secara fizikal ke mana-mana cawangan Bank Islam. Sebagai contoh proses membekukan akaun, menukar PIN dan menentukan tetapan keselamatan kesemuanya boleh dilakukan menerusi aplikasi Be U by Bank Islam.

Bukan itu sahaja, aplikasi berkenaan juga berupaya untuk menjejak semua aliran pembayaran keluar oleh pengguna dalam satu paparan.
Tetapi apa yang lebih menarik ialah fungsi Nest yang tersedia dalam aplikasi yang sama di mana ciri ini membantu pengguna merancang penjimatan dengan ciri penyimpanan automatik bagi mencapai matlamat jangka masa pendek.

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah dalam temu ramah bersamanya berkata, apa yang Bank Islam persembahkan hari ini adalah sebahagian daripada perjalanan mereka dalam usaha untuk membentuk kesejahteraan kewangan dalam kalangan masyarakat.
Kad Debit- Be U by Islam Visa ini juga hadir dengan lima jenis reka bentuk dengan pelbagai warna dan corak yang berlainan bagi memenuhi citarasa dan keperibadian setiap pelanggan. Bagi pengguna yang ingin mendapatkannya, permohonan kad tersebut boleh dilakukan menerusi aplikasi Be U dan kad akan dihantar ke rumah dalam tempoh 3 hingga 5 hari bekerja.