Ulasan Acer Swift X 14 (2023) – Kemuncak Produktiviti Dan Riadah Semua-Dalam-Satu
Nazrin
Siri komputer riba Acer Swift cukup terkenal untuk penawaran komputer riba yang menggabungkan rekaan nipis dan ringan bersama-sama dengan komponen dalaman yang berkuasa khusus untuk tujuan produktiviti harian di dalam dan di luar pejabat.

Acer Swift X 14 diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai sebuah komputer riba yang menggabungkan kemampuan produktiviti dan juga riadah dalam sebuah komputer riba yang bukan sahaja mempunyai prestasi berkuasa dalam pelbagai jenis aspek, tetapi juga masih lagi cukup padat untuk dibawa dan digunakan di mana-mana sahaja.
Kami diberi peluang untuk mengulas generasi ketiga komputer riba Acer Swift X 14 ini yang menggabungkan komponen-komponen terbaru daripada Intel dan juga NVIDIA untuk kedua-dua tujuan produktiviti dan juga riadah.
Rekaan Dan Spesifikasi
| Acer Swift X 14 (2023) | |
|---|---|
| Skrin | 14″ 2.8K (2880×1800) OLED, 120Hz |
| CPU | Intel Core i7-13700H |
| GPU | NVIDIA GeForce RTX 4050 |
| RAM | 32GB LPDDR5-5200 |
| Muatan Dalaman | 1TB M.2 2242 PCIe Gen4 |
| Kamera Utama | 1080p |
| I/O | 2x USB-A 3.2 Gen 2x USB-C Thunderbolt 4 1x HDMI 2.1 |
| Bateri | 76 Wh (4 Sel) Pengecasan 100W |
| SIM/Telefoni | Tiada |
| WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6E |
| Bicu Audio | Ya |
| Kalis Air | Tiada |
| Sistem Imbasan | Imbasan wajah Windows Hello |
| Harga Jualan | RM5999 |
Bermula dengan paparan skrin Acer Swift X 14 ini, ia dilengkapi dengan paparan OLED 14 inci dengan resolusi 2880×1800 dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga hadir dengan nisbah paparan 16:10 yang menjadikan paparan komputer ini lebih tinggi dan ini membantu dalam memuatkan lebih banyak kandungan dalam paparan.

Rangka komputer riba ini diperbuat daripada aluminium dan hadir dengan ketebalan 17.9mm dengan berat 1.55kg sahaja, menjadikannya cukup ringan untuk digunakan dimana-mana sahaja; di rumah, pejabat, mahupun kedai kopi kegemaran anda.


Dari segi pilihan palam, Acer Swift X 14 ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4 yang bukan sahaja menjanjikan kadar penghantaran dan pembacaan data yang pantas, tetapi juga pengecasan komputer riba. Ia juga mempunyai dua palam USB 3.2 Type-A. satu palam HDMI 2.1 dan pembaca kad Micro SD terbina.
Pengecasan komputer riba ini dilakukan menggunakan salah satu daripada dua palam Thunderbolt 4, dan anda akan memerlukan sekurang-kurangnya pengecas 100W untuk mengecas bateri komputer riba ini dengan baik. Anda boleh menggunakan pengecas 65W, tetapi akan menerima amaran bahawa pengecasan adalah terlalu perlahan.

Jika anda melakukan aktiviti yang menggunakan kedua-dua komponen CPU dan GPU, anda akan perlu menggunakan pengecasan yang lebih berkuasa, seperti apa yang sudahpun ditawarkan oleh Acer.
Acer juga merupakan sebuah syarikat yang menitikberatkan penggunaan komponen lestari, dan pada Acer Swift X 14, pad sesentuh komputer riba ini dibina menggunakan kaca OceanGlass, sebuah bahan yang dibangunkan menggunakan kaca yang dikitar-semula daripada sisa lautan.
Dari segi spesifikasi pula, komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-13700H dengan 32GB memori LPDDR5 dan juga storan SSD PCIe Gen4 sebesar 1TB. Ia juga mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 terbina yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan komputer pada resolusi 1080p, dan juga untuk menyunting dan mengolah video pada resolusi tinggi.

Ini adalah kerana Acer Swift X 14 ini hadir dengan pengesahan NVIDIA GeForce RTX Studio. Secara teknikalnya, bergantung kepada penggunaan anda, anda boleh memasang perisian GeForce RTX Gaming ataupun GeForce RTX Studio pada komputer riba ini tanpa masalah.
Untuk ulasan ini, saya menggunakan perisian GeForce RTX Gaming untuk memaksimumkan kebolehan gaming pada komputer riba ini, dan pendapat saya mengenainya akan saya jelaskan dalam perenggan-perenggan di bawah.
Pengalaman Pengguna
Jujur saya katakan bahawa saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri saya menggunakan Acer Swift X 14 ini sebagai mesin kerja utama saya. Setelah biasa menggunakan komputer riba seperti Acer Swift 5 dan ASUS ExpertBook B9, gabungan kenipisan dan ringan komputer-komputer riba ini adalah sesuatu yang sukar untuk ditandingi.

Akan tetapi saya juga akan mengatakan bahawa apabila saya menggunakan komputer riba ini untuk 2-3 minggu, perkara ini tidak lagi membelenggu saya, dan saya kini lebih gemar mempunyai sebuah komputer riba dengan kuasa pemprosesan yang lebih berkuasa, walaupun ia 1.5 kali lebih tebal berbanding komputer riba saya sebelum ini.
Penggunaan paparan skrin OLED juga adalah satu lagi penaiktarafan yang sangat baik. Nilai kecerahan 500 nit dan sokongan DisplayHDR True Black 500 menjanjikan pengalaman tontonan penstriman video dan permainan komputer yang lebih mendalam, tetapi apa yang benar-benar membantu saya ialah saya boleh menetapkan nilai kecerahan paparan ini pada kadar 50 peratus, dan ia masih cukup terang untuk digunakan dengan selesa, disamping menjimatkan penggunaan tenaga bateri.

Nisbah paparan 16:10 juga membantu saya dalam tugasan menulis laporan dan ulasan seharian. Platform WordPress kini mempunyai banyak menu tepi kini tidak kelihatan begitu padat lagi, dan saya boleh membaca dan menulis lebih banyak kandungan tanpa perlu menatal menu dan juga laman web.
Papan kekunci komputer riba ini pada pendapat saya adalah biasa sahaja. Pad sesentuh komputer riba ini mungkin adalah diantara kegemaran saya untuk sebuah komputer riba Windows. Walaupun ia tidak terlalu besar, ia selesa digunakan, dan menjejak jumlah jari yang digunakan dengan tepat.

Penggunaan cip pemprosesan Intel Core i7-13700H pada komputer riba ini, bersama-sama dengan 32GB RAM memastikan bahawa saya boleh membuka sebanyak mana tab Microsoft Edge yang saya mahukan, dan saya tidak perlu risau mengenai komputer ini menjadi perlahan. Jumlah memori yang banyak juga membolehkan tab-tab laman web ini tidak menghadapi masalah perlu disegar-semula untuk memastikan komputer berjalan dengan baik.
Gaming
Komputer riba ini tampil dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 yang hadir dengan 6GB memori GDDR6, dan saya menggunakannya untuk memainkan beberapa permainan yang saya baru sahaja berjinak kembali baru-baru ini.
Final Fantasy XIV dan Diablo IV merupakan dua permainan tersebut, dan ya, kedua-dua permainan ini sebenarnya tidak memerlukan kemampuan grafik yang begitu tinggi, tetapi untuk sebuah komputer riba seperti ini, kehadiran kad grafik tersebut membantu dalam memberi pengalaman gaming kelas sederhana yang selesa.

Kedua-dua permainan komputer ini dapat dimainkan pada resolusi Full HD dengan gabungan tetapan pertengahan dan tinggi tanpa masalah, dan ia masih boleh digerakkan pada kadar 60FPS.
Cuma untuk tujuan ini, saranan saya ialah untuk menggunakan pengecas USB-C yang diberi supaya anda boleh mendapatkan prestasi yang terbaik, kerana bateri yang terbina di dalamnya tidak akan dapat menampung kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan permainan-permainan yang memerlukan kuasa kad grafik.
Dalam pada itu, ia juga tidaklah begitu mengejutkan sekiranya saya berkata bahawa permukaan papan kekunci komputer riba ini akan menjadi panas apabila anda memainkan permainan-permainan komputer dengannya.

Dari segi sistem penyejukan, Acer Swift X 14 ini menggunakan kipas Stereo Ring Fan untuk menyejukkan komponen-komponen, dan ya, untuk aktiviti-aktiviti biasa seperti melayari web, menonton video dan tugasan produktif harian, komputer riba ini dilihat beroperasi dengan senyap, dan bahagian papan kekunci juga hanyalah suam-suam kuku.
Tetapi seperti yang dikatakan, jika ia menggerakkan tugasan sukar seperti permainan komputer, ataupun mengolah video, kipas-kipas ini akan berputar dengan laju dan kuat sekali untuk mengalirkan udara panas daripada komputer riba.
Penanda Aras
Berikut adalah beberapa ujian penanda-aras yang kami gunakan untuk memperlihatkan tahap prestasi komputer riba ini:
PCMark 10

3DMark (FireStrike Extreme)

CrystalDiskMark

Audio
Acer Swift X 14 dimuatkan dengan pembesar suara dengan sokongan DTS, yang mana sepanjang penggunaan komputer riba ini, saya akan katakan bahawa ianya agak lantang, tetapi sayangnya mempunyai kekurangan dari segi tahap bass.

Ini bukanlah mengatakan bahawa pembesar suara komputer riba ini teruk, tetapi ia bukanlah pengganti kepada pembesar suara kelas premium yang anda mungkin akan jangkakan.
Bateri
Salah satu daripada kelemahan pada komputer riba ini pada saya adalah dari segi jangka-hayat baterinya. Sebagai sebuah komputer riba produktiviti, saya secara lazimnya akan mengharapkan bahawa sebuah komputer riba boleh beroperasi sekitar 9 -10 jam dengan satu pengecasan penuh.
Dengan Acer Swift X 14, saya boleh mendapatkan jangka-hayat bateri sekitar 5-6 jam dengan satu pengecasan penuh. Apabila saya mencari maklumat mengenai perkara ini, saya mendapati bahawa komputer riba ini tidak menyokong teknologi NVIDIA Optimus, yang mana cip grafik Intel Xe akan diaktifkan apabila tiada keperluan grafik tinggi yang diperlukan.

Ini boleh dilihat sebagai sebab utama mengapa jangka-hayat bateri ini adalah agak lemah. Ada kemungkinan bahawa sekiranya komputer riba ini hadir dengan sokongan untuk NVIDIA Optimus, bateri komputer riba ini boleh bertahan selama satu atau dua jam tambahan.
Apa yang baiknya ialah sekurang-kurangnya komputer riba ini boleh dicas dengan laju. Menggunakan pengecas USB-C yang disertakan bersama komputer riba ini, ia dapat dicas dari hampir kosong ke penuh dalam jangka-masa bawah dua jam.
Apa Dalam Kotak
Sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan yang tidak diperlukan, bungkusan kotak komputer-komputer riba Acer kebelakangan ini dilihat hadir dengan bungkusan dan juga aksesori minima yang tidak menyemakkan ruangan.
- Acer Swift X 14
- Pengecas USB-C
Penutup
Acer Swift X 14 merupakan sebuah komputer riba yang pada pendapat saya ialah pengganti yang hampir sesuai untuk kesemua keperluan produktiviti dan riadah saya. Rekaan komputer riba ini mungkin sedikit tebal, tetapi ia masih lagi cukup ringan untuk saya membawanya kemana-mana di dalam beg galas saya bersama dengan pengecas GaN 100W padat saya tanpa masalah.

Jangka-hayat bateri komputer riba ini yang sedikit pendek mungkin akan menyebabkan sedikit kerisauan, tetapi paparan OLED Acer Swift X 14yang cukup terang membolehkan anda untuk mengurangkan nilai kecerahan untuk melanjutkan jangka-hayat tersebut.
Pada harga RM5999, anda mungkin merasakan bahawa sebuah komputer riba kelas pertengahan mungkin lebih berbaloi, tetapi tidak banyak komputer riba gaming pada kelas ini menawarkan kemampuan komputer riba Acer ini dari segi rekaan yang padat dan juga prestasi.
Pro:
- Rekaan padat
- Spesifikasi berkuasa
- Paparan OLED yang cerah
- Pengecasan USB-C
- Pilihan I/O mencukupi
Kontra:
- Jangka-hayat bateri yang tidak begitu panjang
- Kualiti audio pembesar suara
- Sistem penyejukan yang sukar menampung haba kedua-dua komponen CPU dan GPU
