Opera sedia menambah sokongan kecerdasan buatan pada pelayar web utama mereka. Kini, Opera GX yang memfokuskan kepada permainan video dan multimedia turut menerima penambahan ciri kecerdasan buatan padanya.

Dengan langkah ini, Opera mengintegrasikan Aria – kecerdasan buatan Opera berasaskan ChatGPT terus pada pelayar web Opera GX. Ini sekaligus memudahkan pengguna berinteraksi dan mendapatkan pelbagai maklumat ketika melayari web atau ketika sedang memainkan permainan pada pelayar, dan sebagainya.
Opera mengatakan ini akan memudahkan lagi para peminat permainan video dalam mendapatkan maklumat berkaitan sesuatu permainan dengan pantas. Pengguna juga turut boleh mengakses Aria dengan pantas melalui kekunci pintar CTRL + / pada Windows atau CMD + / pada Mac.

Bagi anda yang menggunakan Opera GX, boleh mengaktifkan Aria melalui tetapan “Early Bird”, dan seterusnya menikmati integrasi kecerdasan buatan Aria ini secara percuma. Sekiranya anda tidak mempunyai Opera GX, ia boleh dimuat-turun secara percuma melalui laman Opera hari ini.