Cari @ Amanz

Ingatkah lagi anda dengan Clubhouse? Ia merupakan salah satu aplikasi yang sangat popular ketika Perintah Kawalan Pergerakkan disebabkan oleh Covid-19. Melaluinya, ia membolehkan pengguna untuk berinteraksi dan berbual secara audio.

Namun, kebelakangan ini, popularitinya merudum dan pihak Clubhouse mencuba pelbagai kaedah dalam menarik pengguna menggunakan perkhidmatan mereka. Terbaru, Clubhouse mengumumkan permulaan era baharu untuk perkhidmatan mereka.

Kini, Clubhouse menggunakan ikon dan logo pada aplikasi, dan bukannya gambar pengguna rawak seperti sebelum ini. Disamping itu, antaramuka juga diberikan sedikit kemaskini.

Menjadi fokus pada kemaskini baharu ini juga adalah ciri Chats. Ia menawarkan penggunaan berkumpulan untuk perbualan audio – dan dipaparkan dalam bentuk seumpama “Stories” pada platform lain. Ia boleh dibuat secara kumpulan tertutup (bersama rakan-rakan) atau secara terbuka.

Dengan langkah tersebut, pengguna boleh menyambung perbualan audio berkenaan dengan menghantar rakaman audio mereka – dan seterusnya boleh didengar bersama oleh semua. Format baharu ini juga disasarkan akan membuatkan pengguna Clubhouse akan lebih aktif membuka dan menyemak aplikasi tersebut.

Bagi anda yang menggunakan Clubhouse, boleh mengemaskini aplikasi anda hari ini, dan mencuba sendiri ciri baharu ini. 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd