Google hari ini meraikan ulang-tahun ke-15 untuk pelayar web popular dibawah mereka, iaitu Chrome. Telah diperkenalkan sejak 2008 yang lepas, kini Chrome menjadi antara pelayar web utama pilihan ramai, sementara Chromium pula turut menjana pelbagai pelayar web lain di pasaran, termasuk Microsoft Edge.
Google menyatakan mereka masih kekal dengan visi asal Chrome, iaitu menjadikan ia sebagai pelayar web yang pantas, boleh dipercayai, selamat dan mudah digunakan.
Bersama-sama sambutan ulang-tahun ke-15, Google turut mengumumkan beberapa perkara baharu yang menjelang tiba. Salah satunya adalah sokongan rekaan Material Design untuk pelayar web berkenaan – yang turut akan menawarkan sejumlah pilihan tema warna baharu dan boleh ditetapkan mengikut citarasa pengguna.
Disamping itu, Chrome Web Store juga akan diberikan nafas baharu selari Material Design – dan memudahkan lagi pengguna menemui pemalam baharu untuk menambah ciri-ciri pada pelayar web masing-masing.
Google turut menyatakan mereka ingin memudahkan lagi carian, dan akan membolehkan pengguna pin akan Google Search pada bahagian tepi pelayar web untuk akses pantas. Ini dijangka menjadi asas sebelum Google mengintegrasikan kebolehan kecerdasan buatan seperti yang dilaksanakan sejumlah pelayar web lain.
Ini dan lebih banyak ciri lain, termasuk memfokuskan keselamatan dan sekuriti akan ditambah ke Google dalam minggu-minggu akan datang. Apa pun, sementara menantikan ciri-ciri berkenaan, sama-sama kita raikan ulang-tahun ke-15 Chrome hari ini!