Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kini berkongsi menyatakan, walaupun liputan rangkaian 5G mencapai 68.8% pada hari ini, tetapi kadar pengguna 5G masih sangat rendah. Melalui angka yang dikongsikan, kini hanya terdapat 4.2% sahaja pengguna 5G di Malaysia.
Menurut menteri, salah satu sebabnya adalah kerana harga peranti 5G yang masih mahal dan tidak mampu milik di pasaran buat masa ini. Kerajaan sedia menawarkan Pakej 5G Rahmah untuk tujuan berkenaan, disamping subsidi untuk pembelian peranti 5G bagi golongan B40.
Disamping itu, walaupun tidak dinyatakan oleh menteri, dari ujian dan pengalaman kami sendiri, kadar liputan 5G dalam bangunan masih tidak meluas membuatkan ramai yang kekal menggunakan rangkaian 4G pada peranti mereka. Pada masa yang sama juga, syarikat telekomunikasi mengenakan caj tambahan untuk penggunaan rangkaian 5G – membuatkan ada yang tidak melanggan pas tambahan berkenaan.
Bagi anda sendiri, apakah sebab anda tidak menggunakan rangkaian 5G?