Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Fold5 Thom Browne Edition telah dilancarkan di Korea Selatan lewat malam tadi. Seperti model Thom Browne sebelum ini, edisi tahun ini hadir dengan rekaan tubuh, aksesori dan kerangka khas yang menerima sentuhan jenama fesyen terkemuka ini.

Kemasan emas digunakan pada tubuh, bingkai dan bahagian lensa kamera. Panel belakang pula tekstur seakan fabrik digunakan pada bahagian kaca. Belang berwarna merah, putih dan hitam Thom Browne juga digunakan pada panel belakang.

Rekaan belang ini juga digunakan semula pada kepala pengecas USB-C, kabel pengecasan USB-C dan tali jam Galaxy Watch6 yang turut disertakan dengan setiap pembelian. Satu lagi aksesori tambahan yang diberikan ialah stylus S Pen.

Dua lagi kerangka kulit memberikan pelindungan kepada peranti semasa digunakan. Dengan dua rekaan berbeza ia boleh dipadankan kepada busana pemilik dengan lebih mudah. Samsung Galaxy Z Fold5 Thom Browne Edition akan mula dijual di pasaran terpilih dunia bermula September 12 tetapi harga belum diumumkan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd