Mi Box S adalah kotak TV yang cukup popular pada tahun 2018-2020. Ketika ini tidak banyak pengeluar telefon menawarkan kotak TV yang menjalankan Android TV. Mi Box S turut menjadi popular kerana harga jualan yang kompetitif dan mudah untuk diubahsuai.
Kini selepas lima tahun dilancarkan, Mi Box S menerima kemas kini sistem operasi baharu iaitu Android TV 12. Xiaomi melangkau tiga generasi Android TV, kerana kali terakhir Mi Box S dikemaskini adalah dengan Android TV 9.

Android TV 12 akan membawakan antaramuka yang lebih mesra pengguna ia seakan Google TV tetapi lebih ringan. Versi ini turut akan memfokuskan kepada cadangan kandungan kepada pengguna. Cuma buat masa ini, anda tidak digalakkan mengemaskini kotak TV anda kerana ramai melaporkan masalah audio dan Mi Box S yang terus berhenti berfungsi.
Di pasaran sekarang, kotak/dongel TV Xiaomi dan realme adalah antara yang paling berbaloi di pasaran. Walaupun sokongan kemas kini tidak begitu jelas, tetapi adalah pilihan baik untuk harga yang mampu milik.
- Sumber
- 9to5Google