Huawe Mate 60, Mate 60 Pro, Mate 60 Pro+ dan Mate X3 kesemuanya dilancarkan di China secara mengejut minggu lalu. Yang menjadikan pelancarannya semakin aneh ialah tiada acara khas dan spesifikasi penuh peranti dirahsiakan. Hanya selepas peranti dipunggah ia disahkan dilengkapi cip Kirin 9000s, mempunyai kemampuan 5G dan menggunakan cip memori serta storan SK Hynix.
Penemuan cip SK Hynix ini melanggar sekatan teknologi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Huawei sejak mereka dimasukkan ke dalam senarai entiti. Oleh sebab itu SK Hynix mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan mereka tidak menjual cip memori LPDDR5 dan storan NAND SSD kepada Huawei sejak 2020 kerana mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat. Siasatan sedang dilakukan bagi menyiasat bagaimana insiden ini berlaku.
Huawei mungkin menggunakan pasaran kedua untuk membeli kedua-dua komponen penting ini. Teori kedua pula ialah Huawei membeli kedua-duanya dalam jumlah yang tinggi sebelum sekatan dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat.
Selepas cip Kirin 9000s dengan teknologi 7nm serta cip SK Hynix ditemukan pada Mate 60, Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai bagaimana mereka mengakses komponen-komponen ini. Amerika Syarikat telahpun memulakan siasatan untuk melihat sama ada Kirin 9000s telah melanggar sekatan teknologi yang dikenakan oleh mereka.