Mikrocip Digunakan Untuk Mengesahkan Ketulenan Keju Parmigiano-Reggiano
Nazrin
Penggunaan cip penjejak untuk mengesahkan ketulenan sesebuah produk bukanlah sesuatu yang baru. Perkara ini boleh dilihat dalam kelengkapan elektronik, kenderaan dan juga pakaian. Kini, makanan juga boleh dimasukkan didalam kategori ini.
p-Chip ialah sebuah syarikat pembuat cip pemprosesan yang baru-baru ini telah mengumumkan bahawa penawaran cip mereka digunakan didalam roda keju Parmigiano-Reggiano, yang merupakan salah satu keju yang paling mahal di dunia, dan hanya dibuat di kawasan Parma di Itali.

Cip ini digunakan untuk memastikan kesahihan roda keju tersebut, kerana kebelakangan ini, ia telah ditemui bahawa terdapat banyak pihak yang menjual roda keju Parmigiano-Reggiano tiruan. Ini merupakan sesuatu yang serius kerana keju tersebut juga merupakan makanan warisan Itali dan keju ini mempunyai nilai yang setanding matawang dan juga logam-logam berharga.

Mikrocip p-Chip ini hadir dengan saiz sebutir garam dan hadir dengan beberapa kelebihan lain berbanding dengan cip RFID yang secara lazimnya digunakan untuk implimentasi seperti ini. Selain daripada kelebihan saiz, ia juga adalah lebih murah, lebih tahan lasak dan lebih selamat. Ia juga tidak boleh diciplak, boleh tahan suhu -200 ke 500 darjah Celcius, tidak akan larut dalam air ataupun cecair kimia, dan boleh diimbas dengan mudah walaupun ia dibenamkan.
Kelebihan-kelebihan ini dimanfaatkan oleh para pembuat keju Parmigiano-Reggiano ini kerana ia bermakna bahawa cip ini boleh digunakan sewaktu proses pembuatan keju tersebut. Setakat ini, ia juga dilaporkan bahawa sekitar 100 ribu keju yang sedang melalui proses pematangan sudahpun mula menggunakan cip penjejakan ini.
[sumber]Tom’s Hardware[/sumber]