Carian
Microsoft, OpenAI Dan Google Mencatatkan Peningkatan Penggunaan Air Sewaktu Pembangunan Teknologi AI Mereka
September 11, 2023 Nazrin

Pembangunan teknologi kecerdasan buatan boleh diibaratkan sebagai melatih seorang atlet yang akan bertanding di temasya-temasya sukan antarabangsa. Sewaktu proses latihan dan juga pertandingan tersebut, selepas melakukan aktiviti-aktiviti sukan, mereka akan memerlukan makanan dan air yang cukup banyak supaya mereka boleh beraksi pada kadar optimum.

Sama juga dengan teknologi kecerdasan buatan. Sewaktu ia dibangunkan, dan juga apabila ia digunakan, mesin-mesin pelayan yang merumahkannya memerlukan jumlah tenaga dan juga penyejukan yang banyak untuk memastikan ia juga beroperasi pada kadar optimum.

Beberapa laporan mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan telah keluar baru-baru ini, dan walaupun penggunaan tenaga elektrik yang diperlukan untuk tujuan pembelajaran mesin dan juga penggunaan sistem kecerdasan buatan, apa yang mengejutkan ialah penggunaan air oleh syarikat-syarikat seperti Microsoft dan Google untuk menyejukkan mesin-mesin pelayan ini.

Microsoft yang menggunakan AI ChatGPT didalam pelbagai perisian mereka seperti Bing Chat dan juga Microsoft Teams telah melaporkan bahawa sepanjang tahun 2021 ke 2022, mereka telah menggunakan 1.7 bilion gelen (~6.4 bilion liter) air, yang merupakan peningkatan 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Google Bard

Google juga mengatakan bahawa penggunaan air mereka telah meningkat sebanyak 20 peratus sepanjang tahun yang sama, didalam laporan mereka sewaktu membangunkan dan menggunakan kecerdasan buatan Google Bard mereka.

Shaolei Ren, seorang penyelidik dari University of California, Riverside mengatakan bahawa pasukannya akan memperlihatkan sebuah laporan tidak lama lagi, yang mendapati bahawa ChatGPT khususnya menggunakan sebanyak 500ml air untuk setiap lima ke 50 soalan (prompts) yang diajukan kepadanya.

Laporan daripada Associated Press juga memperlihatkan satu butiran yang menarik, dimana Microsoft dan OpenAI membangunkan sebuah pusat data di Des Moines, Iowa untuk menguji kecerdasan buatan ChatGPT, dimana ia akhirnya menjadi ChatGPT 4.0 yang merupakan versi premium teknologi kecerdasan buatan tersebut.

OpenAI
OpenAI

Walaupun pembangunan pusat data ini memberikan suntikan dana yang banyak untuk kawasan Des Moines dan Iowa, pihak kerajaan tempatan tersebut juga mengatakan bahawa sebarang projek pusat data baru daripada Microsoft haruslah hadir dengan pelan untuk mengurangkan penggunaan air kawasan tersebut.

Ini adalah kerana pada Julai 2022, sebulan sebelum ChatGPT 4.0 dirasmikan, penggunaan air untuk menyejukkan pusat data Microsoft dan OpenAI sahaja adalah 11.5 juta gelen ataupun 6.0 peratus daripada penggunaan keseluruhan kawasan Des Moines pada bulan tersebut.

Komen