Beberapa bulan lalu kami ada melaporkan bahawa pihak anugerah Grammy telah menukar beberapa garis panduan penyertaan anugerah muzik tersebut dengan membenarkan pencipta lagu untuk menggunakan khidmat kecerdasan buatan untuk tujuan mengolah lagu mereka.
Drama industri terkini berpaksikan dua buah lagu yang dibangunkan dengan menggunakan khidmat kecerdasan buatan, iaitu Heart on My Sleeve yang ditulis oleh seorang penggubal lagu yang bernama Ghostwriter. Banyak yang diperkatakan mengenai lagu ini, kerana ia dinyanyikan menggunakan suara dua orang artis yang sangat popular, iaitu Drake dan juga the Weeknd melalui kecerdasan buatan.
Ramai yang beranggapan bahawa kerana garis panduan yang diperkenalkan oleh pihak Grammy’s ini, lagu tersebut kini layak menyertai anugerah tersebut, tetapi CEO Recording Academy, Harvey Mason Jr. telah mengatakan bahawa lagu tersebut tidak layak untuk menyertai acara tersebut.
Menurut beliau, ini adalah kerana walaupun lagu tersebut ditulis oleh seorang penggubal lagu yang sebenar, suara Drake dan The Weeknd yang digunakan telah diolah menggunakan kecerdasan buatan dan tidak mendapat izin daripada artis-artis tersebut.
Malah, ia adalah kerana isu ini lagu tersebut juga telah ditarik balik daripada perkhidmatan penstriman lagu seperti Apple Music, Spotify dan juga YouTube Music setelah diminta oleh Universal Music yang mengelola hak penggunaan aset artis-artis ini.