Cari @ Amanz

Siri peranti dwi-skrin Microsoft Surface Duo boleh dikatakan diantara peranti paling unik yang dikeluarkan oleh Microsoft. Setakat ini, terdapat dua variasi peranti ini manakala pelan untuk peranti ketiga nampaknya telah terkubur buat masa ini.

Terkini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Microsoft sudahpun menamatkan sokongan untuk model Surface Duo generasi pertama. Ini adalah kerana apabila Surface Duo tersebut dilancarkan pada 10 September 2020, Microsoft mengatakan bahawa mereka hanya akan menyokong peranti ini dengan kemas kini sistem operasi dan perisian lain selama tiga tahun sahaja.

Kini, setelah tiga tahun telah berlalu, sokongan kemas kini untuk peranti ini berakhir dengan sistem operasi Android 12L dan tiada lagi sokongan sekuriti untuk memastikan peranti ini selamat digunakan. Dalam pada itu, aplikasi-aplikasi yang dimuat-turun masih lagi akan boleh dikemaskini pada peranti ini tanpa masalah.

Jika anda memiliki peranti Surface Duo generasi pertama ini, anda masih boleh memuat-turun perisian ROM parti ketiga untuk menggunakan sistem operasi Android 13 ataupun 14 sekiranya anda mahukannya.

Dalam pada itu, Microsoft Surface Duo generasi kedua masih akan disokong sehingga tahun hadapan sebelum sokongan untuknya juga ditamatkan. Kedua-dua peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 855 untuk model generasi pertama dan Qualcomm Snapdragon 888 untuk peranti generasi kedua.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd