Carian
HP
HP Akan Memindahkan Sebahagian Pengeluaran Komputer Riba Mereka Ke Asia Tenggara
September 12, 2023 Nazrin

Beberapa jenama komputer riba terkemuka dilihat sudahpun mula mengurangkan kebergantungan terhadap kemampuan pengeluaran perkakasan elektronik China, dan telah mula memindahkan sebahagian daripada pengeluaran mereka ke rantau-rantau lain.

HP kini dilihat sebagai syarikat terbaru yang melakukan perkara sama, dimana mereka telah mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa syarikat tersebut akan memindahkan sebahagian daripada proses pengilangan mereka ke negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan juga Mexico.

Dari segi pengeluaran komputer riba, HP merupakan syarikat komputer kedua terbesar selepas Lenovo, dimana mereka telah mengeluarkan sebanyak 55.2 juta buah komputer sepanjang tahun 2022 menurut data yang dikeluarkan Canalys.

HP menjangkakan bahawa sekitar 5 juta buah komputer riba kelas komersil dan pengguna akan dibangunkan di Thailand dan juga Mexico, dimana sebuah kilang baru dijangka akan dibuka di Vietnam pada tahun 2024.

Untuk kilang di Mexico, HP mengatakan bahawa mereka memindahkan pengeluaran komputer riba komersil disana untuk membantu memastikan pasaran komputer riba Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran terbesar syarikat tersebut terjaga, manakala kilang Thailand pula dilihat akan memastikan ia lebih mudah untuk HP menjaga pasaran-pasaran lain.

Ini juga tidak bermakna bahawa HP akan meninggalkan pasaran China sama sekali. Kenyataan sama mengatakan bahawa kilang mereka di Chongqing masih lagi akan membangunkan majoriti daripada penawaran komputer syarikat tersebut, khususnya kerana kawasan tersebut merupakan pusat pembangunan dan pengeluaran komputer riba yang terbesar di dunia.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, pengagihan pengeluaran produk oleh syarikat-syarikat teknologi ini bukanlah sesuatu yang baru. Dell dan Apple dilihat telah mula mengeluarkan sejumlah produk mereka di Vietnam, dimana Dell mengumumkan pelan untuk tidak menggunakan cip yang dikeluarkan di China, dan Apple pula sudah mula mengeluarkan peranti MacBook mereka di negara yang sama.

Samada jenama-jenama komputer riba lain akan melakukan perkara yang sama dari segi pengeluaran produk mereka, masih tidak diketahui lagi setakat ini.

Komen