Awal pagi esok siri iPhone 15 akan dilancarkan secara rasmi dengan ura-ura dilengkapi sistem kamera periskop, USB-C dan rekaan yang lebih premium. Seperti biasa setiap kali iPhone baharu dilancarkan persoalannya ialah bila ia akan tiba ke Malaysia? Menurut laporan Bloomberg hari ini, siri iPhone 15 akan dilancarkan lebih awal di beberapa pasaran dunia.

Juga buat pertama kalinya iPhone yang dibuat di India akan dijual ke pasaran global. Ini sekaligus membolehkan India menjadi negara gelombang pertama iPhone dilancarkan serentak dengan pasaran seperti Amerika Syarikat, Jepun dan UK. Bloomberg tidak pula mengatakan negara selain India yang akan turut menerima iPhone lebih awal.
Di Malaysia pada suatu ketika model baharu iPhone akan mula dipasarkan selepas sebulan. Tahun lalu siri iPhone 14 tiba ke Malaysia seminggu selepas pelancaran global. Berdasarkan pengamatan kami, negara gelombang pertama secara lazimnya ialah negara yang mempunyai Apple Store. Dua Apple Store telah dilancarkan di India tahun ini. Maka bolehlah diramalkan Malaysia mungkin akan menjadi negara gelombang pertama iPhone selepas Apple Store pertama dibuka di negara kita Februari tahun depan.
- Sumber
- Boomberg