Intel Memperkenalkan Thunderbolt 5 – Menyokong Pemindahan Data Sehingga 120Gbps
Aman
Intel hari ini mengumumkan secara rasminya teknologi Thunderbolt generasi akan datang, iaitu Thunderbolt 5. Ia dijangka hadir pada komputer dan sejumlah aksesori bermula 2024 kelak.
Thunderbolt 5 dikatakan menawarkan kelajuan pemindahan sehingga 3 kali ganda berbanding Thunderbolt 4 sebelum ini. Untuk makluman, Thunderbolt 4 menawarkan kadar pemindahan mencapai 40Gbps, sementara Thunderbolt 5 pula akan menyokong pemindahan data mencapai 120Gbps.

Intel menyatakan Thunderbolt 5 menyokong pemindahan 80Gbos, tetapi dengan sokongan Bandwidth Boost, ia menawarkan kelajuan sehingga 120Gbps – dan lebih ditujukan kepada penggunaan panel paparan. Ini sekaligus akan memberikan pengalaman lebih baik kepada mereka yang bermain permainan video, pencipta kandungan, dan sejumlah golongan profesional lain. Ini sekaligus memudahkan pengguna menghubungkan sejumlah paparan 8K dan menggunakannya tanpa masalah lengah masa.

Disamping itu, Thunderbolt 5 dibangunkan menggunakan piawaian industri, termasuk sokongan USB4 V2, Display Port 2.1 dan juga PCI Express Gen 4.
Sama-sama kita nantikan tahun 2024 untuk melihat produk-produk yang dilengkapi Thunderbolt 5 ini. Intel juga akan bekerjasama dengan Microsoft dalam menawarkan produk Windows bersama sokongan USB4 terbaru.