Hari ini acara Apple Event 2023 Wonderlust telah berlangsung dan ada beberapa perkara menarik diumumkan. Dalam artikel ini akan saya fokus kepada Apple Watch Series 9, Apple Watch Ultra 2 dan sedikit pada watchOS 10. Banyak perkara yang membuatkan saya teruja dan jangan terkejut kalau saya katakan Apple Watch baharu mungkin layak menjadi jam tangan pintar paling sempurna.
MENARIK
1. Cip Apple S9 – Lebih Berkuasa
Selepas tiga generasi Apple Watch menggunakan cip sama cuma dengan nama berbeza, akhirnya Apple Watch Series 9 dan Apple Watch Ultra 2 dijana cip baharu iaitu Apple S9 yang lebih berkuasa. Cip ini mempunyai 5.6 bilion transistor yang 60% lebih banyak berbanding Apple S8, menawarkan kuasa GPU 30% lebih pantas dan enjin neural empat-teras.
Dengan cip baharu yang lebih pantas ini, Apple Watch baharu akan bertahan lebih lama, menyokong lebih banyak ciri dan fungsi disokong dan akan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih memuaskan.
2. Double Tap – Kawal Jam Tanpa Sentuhan
Anda ingat atau tahu AssistiveTouch? Ia adalah ciri ketercapaian di mana jam boleh dikawal dengan gestur jari. Sama ada picit sekali atau dua dan menggenggam sekali atau dua untuk melancarkan sesuatu aplikasi, mengawal kamera iPhone dari jarak jauh dan menjawab panggilan telefon. Pada jam baharu, ia dinamakan sebagai Double Tap dan penggunaannya dikembangkan untuk hampir 100% jam dikawal dengan jari sahaja.
Ini mungkin satu-satunya cara untuk menjadi Jedi pada produk Apple. Dalam percubaan saya menggunakan AssistiveTouch pada Apple Watch Ultra saya rasa ciri ini sangat menarik. Siapa sangka ciri yang pada asalnya untuk golongan OKU kini boleh menjadi ciri yang berguna untuk semua.
3. Skrin Lebih Terang
Keterangan skrin Series 9 boleh mencecah 2000 nits dan Ultra 2 pula mencapai 3000 nits. Ini adalah tahap kecerahan yang tertinggi pada sepasang jam tangan pintar. Kini di mana-mana situasi dengan sinaran matahari yang sangat terik, Apple Watch boleh digunakan seperti biasa tanpa mata terkenyit-kenyit melihat apa yang dipaparkan pada skrin jam.
4. Penjejakan Objek Lebih Baik Dengan UWB Baharu
Saya tidak menemui nama baharu cip ultra wideband (UWB) selain disenaraikan sebagai generasi kedua. Cip ini boleh menjejak objek dengan lebih tepat dan menjadi mesra peranti Internet benda (IoT). Ia membolehkan Apple Watch mencari iPhone yang hilang dengan jitu serta dengan bantuan visual, audio dan haptik.
Kemudian apabila pengguna berdekatan dengan HomePod, jam akan terus memaparkan now Playing untuk mengawal muzik. Sebagai insan yang kerap terlupa di mana iPhone diletakkan di rumah kerana terlalu banyak peranti yang diuji, ciri ini paling saya ingin gunakan kerana sistem deringan Find My sekarang kadang kala tidak begitu membantu.
5. Siri Lebih Bijak
Selama ini untuk memantau data kesihatan yang dikumpul Apple Watch, aplikasi Health dan Fitness digunakan. Pada kedua-dua Apple Watch baharu ini Siri boleh diberikan arahan untuk memberitahu tahap kesihatan pemakai. Hanya tanya “Siri, malam tadi berapa jam saya tidur?”, “Siri, bagaimana dengan kadar degupan jantung saya?”, “Siri, paparkan data sukan terkini saya.” dan banyak lagi.
Ini adalah amat berguna lebih-lebih lagi selepas pengguna selesai melakukan sesi senaman. Dengan badan berpeluh terasa kurang selesa ingin menyentuh skrin Apple Watch. Menerusi arahan suara ia bukan sahaja lebih pantas tetapi mengelakkan kekotoran pada skrin.
7. watchOS 10- Penambahbaikan Yang Diperlukan
Dengan watchOS 10 baharu semakin banyak ciri yang menyenangkan penggunaannya ditambah. NameDrop disokong misalnya membolehkan maklumat peribadi seperti nombor telefon dan emel dikongsi dengan pemilik Apple Watch dan iPhone semudah merapatkan dua peranti sahaja. Widget pula memudahkan maklumat dipaparkan dengan pantas tanpa menggunakan muka jam dengan complications yang berserabut.
Bagi mereka yang merasakan skrin terlalu kecil, maklumat pada Apple Watch boleh dipaparkan pada iPhone berhampiran. Amat berguna mereka yang berbasikal dan kesemua maklumat boleh dilihat dengan terperinci pada iPhone yang dimiliki. Jumlah ciri serta fungsi berguna yang tinggi adalah antara sebab utama Apple Watch ialah jam tangan pintar dengan pegangan pasaran terbesar pada waktu ini.
8. Apple Watch Neutral Karbon Pertama
Menjelang tahun 2030, Apple berhasrat untuk menjadi syarikat yang sepenuhnya neutral karbon. Menerusi Series 9, buat pertama kalinya Apple mempunyai produk yang neutral karbon. Keseluruhan jam menggunakan bahan yang sama ada dikitar semula atau lebih lestari bagi mengurangkan impak ke atas alam sekitar.
Pembungkusan setiap Apple Watch adalah berasaskan bahan gentian. Bahan binaan, penggunaan elektrik dan pengangkutan untuk Apple Watch turut menjadi faktor utama untuk menjayakan cita-cita Apple ini.
MENGECEWAKAN
8. Rekaan Masih Lagi Sama
Sejak tahun lepas semua menantikan rekaan Apple Watch baharu. Series 8 sepatutnya menggunakan rekaan rata dan kemudian dikhabarkan akan digunakan pada Series 9. Tetapi yang anda sendiri boleh lihat rekaan jam masih lagi sama. Sudah bertahun lamanya Apple Watch menggunakan rekaan yang diperkenalkan sejak Series 1. Hanya skrin lebih besar tetapi 90% rekaan lain masih lagi mengekalkan sentuhan asal Sir Jony Ive.
Kedengaran ura-ura perubahan sebenar pada Apple Watch akan hanya hadir dengan Series X sempena ulang tahunnya yang ke-10. Sama seperti perubahan besar pada iPhone diperkenalkan menerusi iPhone X tujuh tahun yang lalu. Saya hanya boleh berharap.
9. Tidak Semua Fungsi Boleh Dipakai
Ciri Find My yang lebih jitu adalah terhad kepada pemilik siri iPhone 15 sahaja kerana memerlukan cip UWB Apple generasi kedua. Seterusnya adalah ciri Now Playing yang keluar apabila jam berdekatan dengan HomePod. Speaker pintar ini sehingga kini tidak dijual di Malaysia.
Adalah merugikan kepada pengguna apabila terdapat ciri menarik tetapi tidak boleh digunakan atas sebab-sebab tertentu. Sama seperti pengalaman saya menggunakan radar Soli pada Pixel 4 yang hanya boleh digunakan di SIngapura sahaja beberapa tahun yang lalu.
10. Tiada Peningkatan Pada Ketahanan Bateri Series 9
Menurut Apple, Series 9 boleh bertahan sehingga 18 jam atau sehingga 36 jam dalam mod kuasa rendah. Ini adalah sama sahaja dengan ketahanan bateri pada Series 8. Apple mengiklankan Series 9 dengan “bateri sepanjang hari”. Sejak bila satu hari mempunyai 18 jam sahaja? Kanak-kanak sekolah rendahpun tahu sepanjang hari ialah 24 jam.
Peningkatan ketahanan bateri seharusnya diberikan kerana kita boleh melihat pesaing mereka seperti Galaxy Watch6 Classic mempunyai ketahanan bateri 40 jam dengan AOD dan 50 jam tanpa AOD.