Cari @ Amanz

TSMC kini dilihat semakin agresif dalam agenda memperluaskan rangkaian pengilangan cip semikonduktor mereka. Setelah membuka kilang di Eropah dan Amerika Syarikat, syarikat teknologi dari Taiwan tersebut sedang dalam proses membuka satu lagi kilang di kepulauan Kyushu di Jepun.

Kilang mereka di Phoenix, Arizona baru sahaja beroperasi, dan walaupun ia mempunyai kemampuan untuk membangunkan cip menggunakan proses-proses canggih dan terbaru, komponen-komponen yang dibangunkan masih perlu dihantar ke Taiwan untuk proses packaging.

Satu lagi isu yang membelenggu kilang Arizona tersebut ialah kekurangan tenaga pekerja yang mahir disana, dan juga keengganan pihak kesatuan pekerja untuk membenarkan tenaga kerja tambahan dari Taiwan dibawa masuk ke kilang Arizona.

Pembangunan kilang TSMC di Jepun ini dilihat sebagai sesuatu yang boleh menjadi kelebihan untuk syarikat tersebut, kerana Jepun sudahpun dikenali sebagai negara dengan teknologi dan kepakaran untuk membangunkan industri cip semikonduktor mereka sendiri.

Lokasi kepulauan Kyushu yang berhampiran dengan Taiwan, dan budaya kerja yang hampir sama juga dilihat memudahkan keputusan untuk membangunkan kilang cip baru di lokasi tersebut. Dengan kilang ini, ia juga dilihat boleh membantu industri automotif Jepun untuk membina semula bekalan cip semikonduktor mereka untuk membangunkan kereta-kereta baru yang lebih pintar dan cekap.

Subsidi pembinaan kilang sebanyak $3.2 bilion dan kebolehan untuk pakar TSMC sedia ada untuk melatih para pekerja tempatan dari negara tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd