Storan SSD PCIe Gen5 diperkenalkan pada tahun ini untuk komputer desktop dan memperlihatkan kadar pembacaan dan penghantaran data yang sangat pantas, sekitar 14-15GB/s melalui beberapa jenama pembuat storan SSD yang terkemuka.
Satu isu yang membelenggu storan ini ialah walaupun ia hadir dengan penawaran saiz storan yang besar dan juga kelajuan pembacaan dan penghantaran data yang pantas, ia juga dilihat hadir dengan suhu yang sangat tinggi yang boleh menyebabkan storan dan juga papan induk dan komponen-komponen di sekelilingnya untuk rosak dengan cepat.

Ini menyebabkan banyak syarikat memperkenalkan bongkah penyejukan untuk SSD PCIe Gen5 dan mengapa ia hanya digunakan bersama komputer desktop buat masa ini, walaupun secara teknikalnya ia sudahpun boleh disokong pada komputer riba.
Pengurus Perancangan Produk SiliconMotion, Liu Yaoren menjangkakan bahawa storan SSD PCIe Gen5 ini akan sedia digunakan untuk komputer riba pada penghujung tahun 2024, apabila mereka siap membangunkan pengawal SSD SM2508 mereka, yang bukan sahaja hadir dengan kadar pembacaan data 14GB/s, tetapi juga boleh beroperasi pada 3.5W lebih rendah berbanding pengawal Phison E26 yang beroperasi pada 5W.
Komputer riba dengan sokongan untuk SSD PCIe Gen5 ini sudahpun diperlihatkan, tetapi buat masa ini, kerana isu yang masih membelenggu storan SSD tersebut, ia hanya akan sedia digunakan apabila pembangun storan dapat memperbaiki isu haba tersebut.
- Sumber
- Tom’s Hardware