Huawei hari ini memperkenalkan peranti boleh pakai baharu yang dipanggil sebagai Watch GT4. Terdapat dua jenis variasi disediakan yang merangkumi kerangka bersaiz 41mm dengan rekaan berelemen feminin. Seterusnya 46mm pula dengan binaan keseluruhannya nampak lebih maskulin.
Skrin juga berbeza dengan saiz 1.32-inci digunakan pada variasi 41mm, kemudiannya meningkat kepada 1.43-inci disertakan pada model 46mm. Kedua-duanya bagaimanapun menggunakan panel AMOLED berwarna yang juga menawarkan ciri Always-On Display (AOD), kawalan sesentuh sepenuhnya dan pilihan muka jam yang boleh dikostumasi.
Kapasiti bateri juga besar untuk variasi 46mm dengan ketahanan mencapai dua minggu. Kemudian variasi 41mm pula diiklan boleh bertahan selama seminggu menerusi kapasiti bateri 524mAh. Turut diberikan kemampuan mengecas secara nirwayar yang melengkapi kedua-dua jam tangan ini.
Sensor kesihatan dan kecergasan disokong pula merangkumi pemantauan degupan jantung sepanjang hari, SpO2, analisa tidur, tahap stress dan pemberitahuan kesihatan. Ia juga menawarkan fungsi pemantauan kesihatan wanita yang dipertingkatkan dengan kemampuan menganalisis pelbagai respon fisiologi pengguna dengan lebih baik – termasuklah kadar denyutan jantung semasa tidur, suhu badan, kadar penafasan, serta anggaran tempoh ovulasi.
Turut diberikan adalah pembesar suara dan mikrofon terbina bagi tujuan panggilan bluetooth. Selain turut menyokong bluetooth 5.2, NFC, GPS dan kalis air IP68. Huawei turut mengesahkan bahawa peranti ini bakal tiba di Malaysia tanpa tarikh ketersediaan khusus yang didedahkan buat masa ini.
Selain itu Huawei juga merupakan salah satu penaja utama untuk temasya Sukan Asia 2022 di China kelak yang akan menghadiahkan jam tangan ini kepada setiap pemenang pingat.