Google hari ini berkongsi menyatakan mereka akan menawarkan kemaskini untuk Chromebook selama 10 tahun – peningkatan dua tahun berbanding sokongan selama 8 tahun sebelum ini. Chromebook adalah komputer riba yang hadir menjalankan sistem operasi ChromeOS. Ia memfokuskan terus ke pelayaran web, dan digunakan bersama sejumlah aplikasi berasaskan web padanya.
Menurut Google, Chromebook yang dikeluarkan sejak 2021 dan terkini akan menerima kemaskini selama 10 tahun, berkuat-kuasa tahun hadapan, 2024 kelak.
Dengan langkah ini, ia sekaligus memanjangkan hayat penggunaan sesuatu Chromebook, dan memastikan ia boleh digunakan untuk tempoh yang lama tanpa risau perlu membeli peranti baharu untuk menggantikannya.
Disamping itu, dalam usaha memastikan bateri Chromebook juga bertahan lama, Google mengumumkan beberapa ciri baharu, termasuk salah satunya adalah Adaptive Charging dan juga Battery Saver Mode.