Carian
HP
Komputer Skrin Boleh-Lipat HP Spectre Dijual Pada Harga RM23,000
September 15, 2023 Effi Saharudin

HP memasuki arena komputer riba skrin boleh-lipat dengan pelancaran HP Spectre Foldable PC hari ini. Ia sebuah komputer riba Windows 11 dengan skrin 17″ OLED yang boleh dilipat. Apabila diperlukan ia boleh berfungsi seperti sebuah komputer riba konvensional 12.3″ dengan kekunci fizikal, sebuah tablet gergasi dan sebuah desktop.

Ia dilengkapi cip Intel Core i7-1250U, memori sebesar 16 GB LPDDR5-6400 , storan 1 TB PCIe Gen4 NVMe TLC M.2 SSD dan bateri 94.3 Wh yang boleh bertahan selama 12 jam. Dengan pengecas 100W, bateri ini boleh dicas semula dengan pantas

Skrin Spectre Fold sebesar 17″ tadi bernisbah 4:3 dengan resolusi 1920 x 2560 pixel. Nisbah ini digunakan bagi membolehkan kandungan IMAX ditonton pada nisbah yang tepat. Dalam mod desktop, terdapat tongkat di belakang yang membolehkan skrin berdiri di atas meja.

Papan kekunci fizikal yang disertakan ditambat menggunakan bluetooth serta dica semula secara nirwayar apabila disimpan di antara lipatan skrin. Sebuah stylus turut disertakan bagi mereka yang ingin melakar terus pada permukaan skrin.

Kamera web 5MP komputer riba ini mempunyai butang penutup fizikal bagi memastikan privasi. Sistem audio pula terdiri daripada empat speaker Bang & Olufsen yang menyokong DTS:X Ultra. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh yang kompak seberat 1.6 kilogram sahaja.

HP Spectre Foldable PC dijual pada harga $4999 (~RM24,405) sebuah dalam jumlah terhad bermula Oktober ini di Amerika Syarikat sebelum turut ditawarkan ke beberapa pasaran lain.

Komen