Dua tahun lalu DARPA mengumumkan projek Longshot yang merupakan dron yang boleh membawa senjata. Longshot akan dibawa oleh pesawat induk sebelum dilancarkan ke dalam medan peperangan. Ia kemudiannya melancarkan senjatanya sendiri bagi memenuhi misi. Minggu ini General Atomics yang memenangi kontrak membina Longshot mengumumkan mereka kini bersedia untuk memulakan ujian.
Sekiranya semua berjalan lancar, penerbangan pertama Longshot akan dilakukan tahun 2024. Tidak seperti dron Predator atau Loyal Wingman, Longshot akan dibawa terlebih dahulu oleh pesawat tempur Gen-4 seperti F-16, F-15 dan FA-18. Kerana ia sudah berusia untuk bertempur dengan pesawat tempur Gen-6 seperti Su-57 dan J-20, Longshot boleh dihantar ke medan perang untuk berdepan dengan musuh sebelum melepaskan peluru berpandu seperti AMRAAM ke arah musuh.
Dengan ini pesawat Gen-4 masih mempunyai fungsi di medan pertempuran moden tanpa memberikan risiko kepada juruterbang manusia. Projek LongShot dilihat adalah evolusi dari program Gremlins yang diumumkan pada tahun 2015. Gremlins ialah gerombolan dron yang boleh dilancarkan dari pesawat kargo yang kemudiannya digunakan untuk pemantauan ruang udara sahaja kerana tidak dilengkapi senjata.
Longshot pastinya akan menjadi antara sistem yang digunakan dalam Program Replicator yang diumumkan bulan lalu. Amerika Syarikat ingin menggunakan ribuan dron di medan perang bagi menandingi kemampuan musuh di China yang mempunyai lebih banyak pesawat tempur berbanding mereka.