Bose ialah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan sistem ANC yang menghalang bunyi bising menerjah telinga ketika mendengar lalu. Hari ini mereka melancarkan dua fon kepala dan satu fon telinga baharu dari siri QuietComfort.
Bose QuietComfort Ultra ialah fon kepala paling mercu dengan sistem ANC yang menggantikan NCH700. Ia boleh beroperasi sehingga 24 jam dengan sekali caj dalam mod biasa atau 18 jam dalam mod Immersive Audio. Ia direka untuk keselesaan dengan busa cawan telinga lembut serta tubuh yang licin.
Terdapat butang kawalan fizikal untuk audio serta kuasa. Selain sambungan bluetooth, QuietComfort Ultra juga menyokong sambungan berwayar 2.5mm. Cip Snapdragon Sound digunakan untuk kawalan audio lebih baik. Harga jualannya ialah $429 (~RM2007) sepasang.
Seterusnya ialah QuietComfort Headphones yang menggantikan model QC45 yang cukup popular. Penambahbaikan dilakukan pada kualiti audio serta sistem ANC yang akhirnya boleh ditala oleh pemakai. Tambatan kepada dua peranti serantak disokong dan bateri boleh bertahan sehingga 24 jam. Pada model ini tiada cip Snapdragon Sound. Harga jualannya ialah $349 (~RM1633).
Akhir sekali ialah fon telinga QuietComfort Ultra Earbuds yang juga dilengkapi cip Snapfragon Sound. Ia mementingkan keselesaan pada pemakai serta menyokong audio aptX AdaptiveĀ bersama dengan AAC serta SBC. Putik audio ini memberikan tumpuan bukan sahaja kepada audio tetapi suara pemakai apabila melakukan panggilan suara dengan ia kedengaran lebih jelas. Fon telingan ini boleh beroperasi selama 6 jam dengan sekali caj. Sepasang QuietComfort Ultra Earbuds dijual pada harga $299 (~RM1399).