Motorola mengumumkan penawaran peranti pertengahan baharu menerusi Edge 40 Neo. Ia dipasarkan sebagai peranti lebih mampu milik yang boleh menjadi alternatif kepada Edge 40 sebelum ini. Dalam masa sama tiada perubahan drastik dari aspek rekaan diantara kedua-duanya.
Untuk lebih khusus peranti menggunakan skrin sebesar 6.55-inci pOLED FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Ini dipadankan juga cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7030, memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Bateri pula sebesar 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas 68W TurboPower yang boleh dicas semula menggunakan port USB-C.
Turut disokong adalah sistem kamera utama 50MP yang menyokong OIS terbina, selain 13MP ultra-lebar dengan darjah pandang sehingga 120 darjah. Kemudian kamera swafotonya pula sebesar 32MP yang diletakkan dalam lubang kecil di skrin hadapan. Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan Android 13, pembesar suara stereo, NFC dan kalis air IP68.
Peranti ini dijual pada €399 (~RM1,990) dalam beberapa pilihan warna seperti PANTONE Caneel Bay, PANTONE Black Beauty dan PANTONE Soothing Sea. Tiada butiran mengenai ketersediaannya di Malaysia yang diketahui buat masa ini.