Carian
Pixel Watch Yang Rosak Tidak Akan Dibaiki Google
September 18, 2023 Fahim Zahar

Biasanya jika peranti dijual, pengeluar akan menawarkan alat ganti serta perkhidmatan membaikinya jika berlaku kerosakan. Tetapi The Verge telah melaporkan jika sebarang kerosakan berlaku kepada jam tangan pintar Pixel Watch, Google tidak menawarkan khidmat membaik pulih. Wakil Google menyatakan buat masa ini Google tidak mempunyai pusat membaiki untuk jam tangan pintar ini. Sebaliknya jika jam ini rosak, Google hanya boleh menggantikan dengan jam lain yang perlu dibayar sendiri oleh pemilik.

Google turut bekerjasama dengan iFixit untuk memudahkan pengguna membaiki sendiri produk-produk yang telah dibeli. Namun untuk membaiki jam ini sendiri pengguna perlu mencari Pixel Watch yang terpakai atau yang rosak untuk menggunakan komponennya kerana Google tidak menawarkan sebarang alat gantian.

Ini agak mengecewakan kerana jam yang berharga hampir RM2000 selepas rosak hanya menjadi sisa elektronik sahaja dan tidak lagi boleh digunakan. Nampaknya ada baiknya Pixel Watch tidak dijual di Malaysia.

Kurang sebulan lagi Google dijangka akan melancarkan Pixel Watch 2 bersama-sama dengan Pixel 8 mengharapkan akan perubahan berlaku nanti. Kami juga tidak menggalakkan anda membeli set import kerana harga mahal dan tidak boleh dibaiki.

Komen