SYOK adalah perkhidmatan penstriman radio, podsiar, video dan turut menyajikan beberapa kandungan berita. SYOK adalah produk di bawah Astro sama seperti Sooka dan lain-lain lagi. Terbaru, aplikasi SYOK akhirnya ditawarkan ke Astro Ultra dan Ulti Box. Menurut Astro, aplikasi SYOK di kotak TV Astro ini akan memberikan akses kepada lebih 60 stesen radio dengan pelbagai genre muzik serta akses kepada lebih 360 podsiar dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.
Penawaran SYOK pada Astro Ultra dan Ulti Box turut akan memudahkan pengguna menguruskan langganan di satu tempat sama seperti platform penstriman lain yang sedia ditawarkan pada kotak TV ini. Bukan itu sahaja, aplikasi My Astro yang selama ini hanya boleh di akses di Android, iOS dan web turut ditawarkan. Dengan My Astro sedia terbina, pelanggan-pelanggan Astro boleh melihat butiran akaun, menguruskan langganan masing-masing atau juga membayar bil terus di televisyen dengan mudah.
Dengan penambahan SYOK dan MyAstro, kini pelanggan Astro boleh mengakses 14 aplikasi premium terus di kotak TV termasuk dengan Netflix, Disney+ Hotstar, Viu, ZEE5, WeTV, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+, BBC Player, beIN SPORTS CONNECT, Qalbox dan juga Astro GO.