Vivo Y17s baru sahaja dilancarkan secara rasminya di Singapura, sekaligus melengkapkan lagi segmen produk berkenaan. Ia juga dipasarkan sebagai peranti asas mampu milik khusus kepada pengguna yang mementingkan bajet.
Vivo Y17s dilengkapi skrin IPS LCD sebesar 6.56-inci beresolusi HD+, di samping sokongan kadar segar semula 60Hz dan kecerahan puncak 480nits. Ini dipadankan juga dengan cip Helio G85, memori 6GB RAM LPDDR4X, storan dalaman 128GB eMMc dan bateri 5000mAh dengan pengecasan 15W.
Sistem kamera utama pula merangkumi 50MP utama, yang diikuti dengan 2MP bagi tujuan potret. Seterusnya kamera swafoto pula sebesar 8MP yang diletakkan di dalam takuk kecil. Peranti ini juga menawarkan bicu audio 3.5mm, kalis air IP54, sambungan bluetooth 5.3 dan port USB-C.
Dengan tanda harga SGD 199 (~RM684), telefon pintar ini disediakan dalam dua warna sama ada Glitter Purple and Forest Green. Ia juga didapati telah melepasi pensijilan SIRIM di Malaysia menandakan kita mungkin boleh melihatkan penawarannya dalam masa terdekat.