Pos Digicert hari ini telah memperkenalkan penyelesaian identiti digital mereka tersendiri, dinamakan iDsaya. Untuk makluman, pada 2019 yang lepas, pihak Pos Malaysia telah sedia memperlihatkan prototaip identiti digital mereka, dan hari ini melalui Pos Digicert, penawaran iDsaya telah disediakan kepada semua.
iDsaya merupakan penawaran identiti digital dengan ciri pengesahan – seterusnya membolehkan pengguna menggunakan ia dalam urusan pendaftaran pelbagai perkhidmatan dengan mudah dan pantas. Melalui contoh yang dipaparkan, iDsaya diperlihatkan boleh digunakan untuk pendaftaran di klinik, dimana apabila tiba di klinik, pengguna hanya perlu menggunakan iDsaya dan mengimbas kod QR untuk pendaftaran. Semuanya akan secara automatik didaftarkan – dan tidak lagi perlu melalui proses manual seperti hari ini yang memerlukan pengguna memberikan MyKad dan menantikan proses pendaftaran.
Disamping itu, iDsaya juga dilihat boleh diperluaskan meliputi pelbagai perkhidmatan lain – termasuk untuk edagang, pendaftaran akaun telekomunikasi, pendaftaran akaun bank, berurusan dengan kerajaan, dan sebagainya.
Pos turut menyatakan iDsaya turut meliputi penawaran log masuk tanpa kata laluan – bagi perkhidmatan yang menyokongnya, disamping sokongan untuk tanda tangan digital menggunakan iDsaya.
Buat masa ini, iDsaya masih pada peringkat awal lagi, dan mungkin kita akan melihat ia dipasarkan dengan pelbagai rakan kerjasama lain ketika pelancaran rasminya kelak.
Bagi anda yang berminat untuk mencuba iDsaya, boleh memuat-turun aplikasi iDsaya di peranti Android atau iPhone.