Carian
Cip Amlogic S905X5 Bakal Dilancarkan Untuk Google TV Dengan Teknologi 6nm
September 21, 2023 Fahim Zahar

Terdapat banyak kotak TV dan dongel TV di pasaran sekarang. Kegemaran kami adalah Chromecast with Google TV kerana memberikan pengalaman penggunaan yang bagus dengan prestasi yang sangat lancar. Namun begitu cip Amblogic yang digunakan adalah berkuasa rendah jika dibandingkan dengan cip telefon pintar.

Terbaru, SEI Robotics mengacah pelancaran kotak TV yang menjalankan Google TV baharu yang menggunakan cip Amlogic S905X5 dengan teknologi 6nm. Selama ini cip yang digunakan adalah 12nm iaitu Amlogic S905X3, S905X34 atau juga S905Y4. Cip baharu ini adalah Amlogic S905X5. Ia menyokong Dolby Atmos, HDMI eARC, paparan kadar segar semula tinggi adaptif dan pengurangan 50% penggunaan kuasa.

Cip ini akan menggunakan CPU Cortex-A510 yang dipadankan dengan GPU Mali-G310 pada kuasa 1GHz. Cip ini turut akan membawakan sokongan AV1, H.265, VP9 dan pelbagai codec lain. Buat masa in, SEI Robotics hanya berkongsi kemampuan cip baharu untuk menjalankan televisyen pintar sahaja.

Kebiasaannya, kota-kotak TV atau televisyen pintar mengambil masa yang sangat lama untuk dikemaskini dengan cip baharu. Lihat sahaja Mi Box S yang sudah berusia lima tahun masih menerima kemas kini Android 12 TV. Dengan Chromescast with Google TV yang sudah berusia tiga tahun, kita mungkin akan lihat produk ini dikemaskini dahulu. Sama-sama kita nantikan.

Komen