Shell hari ini mengumumkan mereka telah membuka stesen pengecasan kenderaan elektrik terbesar di dunia dibawah mereka, di Shenzhen, China. Stesen pengecasan ini dioperasikan dibawah kerjasama Shell dan BYD, dan mempunyai 258 pusat pengecasan kenderaan padanya.
Stesen pengecasan ini terletak sekitar 2.5 kilometer dari lapangan terbang Shenzhen Airport Terminal, dan telah berjaya mengecas lebih 3,300 kenderaan elektrik sehari ketika fasa ujiannya.
Seperti stesen minyak Shell, stesen pengecasan ini juga turut dilengkapi dengan ruangan peruncitan Shell Cafe. Ini sekaligus akan membolehkan pengguna kenderaan berehat sementara menantikan kenderaan mereka dicas penuh. Shell turut menggunakan tenaga yang dijana secara solar dalam menguasakan stesen ini.
Shell mengatakan kini mereka mempunyai lebih 40,000 titik pengecasan kenderaan elektrik di peringkat global, dan menyasarkan ia mencapai 200,000 titik pengecasan menjelang 2030 kelak.