Cari @ Amanz

Dengan kehadiran siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake yang baru sahaja diumumkan, ia juga diketahui umum bahawa ia merupakan cip pemprosesan pertama yang akan menggunakan nama Intel Core Ultra, penjenamaan cip pemprosesan baru yang akan tiba di pasaran terlebih dahulu untuk komputer riba.

Sewaktu pembukaan acara Intel Innovation yang sedang berlaku di San Jose, Amerika Syarikat, Pat Gelsinger, CEO Intel turut mengumumkan bahawa cip pemprosesan Intel Core Ultra generasi pertama (Meteor Lake) ini akan dilancarkan pada 14 Disember 2023 ini.

Siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake merupakan cip pemprosesan mereka yang pertama dibina menggunakan proses Intel 4 (7nm) dan juga teknologi pempakejan Foveros yang bukan sahaja menjanjikan prestasi yang hebat, tetapi juga penggunaan kuasa yang sangat cekap.

Cip pemprosesan ini juga merupakan yang pertama hadir dengan cip kecerdasan buatan (NPU) terbina yang pertama yang membolehkan pengguna untuk memanfaatkan pelbagai kemudahan kecerdasan buatan secara tempatan di komputer mereka sendiri.

Acer merupakan salah satu rakan pembangun Intel yang memperlihatkan sebuah komputer riba yang kelihatan seperti sebuah Acer Swift 5 ataupun Swift 7 dan Jerry Kao, CEO Acer memperlihatkan kebolehan komputer riba tersebut untuk mengolah imej seorang angkasawan yang sedang menari di permukaan bulan menggunakan Stable Diffusion.

Jerry tidak memberikan sebarang butiran tentang bilakah komputer riba Acer dengan cip pemprosesan Intel Meteor Lake ataupun Intel Core Ultra akan diperkenalkan, tetapi jika ia akan hadir seiring dengan pelancaran cip pemprosesan tersebut, ia tidak mengejutkan sekiranya ia akan sekurang-kurangnya diperkenalkan pada sekitar tarikh yang sama, jika tidak di acara CES 2024 kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd