Diantara pengumuman yang menarik yang dibuat oleh CEO Intel, Pat Gelsinger sewaktu acara Intel Innovation ialah mengenai Intel Developer Cloud, iaitu sebuah platform medan ujian (sandbox) yang membolehkan pembangun untuk mengaturcara perisian dan aplikasi prototaip yang boleh digunakan dengan pelbagai pilihan cip pemprosesan kelas industri keluaran Intel.

Ini termasuklah perisian-perisian yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan, aplikasi-aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi seperti pembelajaran mesin dan perkomputeran pada skala yang besar.

Buat masa ini, Pat Gelsinger mengatakan bahawa pilihan-pilihan cip pemprosesan yang boleh dimanfaatkan melalui Intel Developer Cloud termasuklah pemecut data kecerdasan buatan Intel Gaudi 2, siri cip pemprosesan Intel Xeon generasi ke-4 dan Xeon CPU Max, siri cip pemprosesan Intel Core i3 ke Intel Core i9 dan juga GPU pusat data Intel.

Malah, bercakap mengenai kuasa pemprosesan pusat data, Intel turut mengumumkan bahawa mereka menerima tempahan untuk membina salah satu daripada adikomputer yang paling berkuasa di dunia, dikuasakan oleh sejumlah cip pemprosesan Intel Xeon generasi ke-4 dan sebanyak 4000 pemecut data kecerdasan buatan Gaudi 2 dengan Stability AI, syarikat induk disebalik Stable Diffusion sebagai pelanggannya.

Jika anda seorang pembangun teknologi yang mahu membangunkan perisian dan aplikasi berdasarkan kecerdasan buatan dan teknologi-teknologi Intel sedia ada, anda boleh melayari laman web Intel Developer Cloud.